Peniaga Pasar Tani Kuala Besut lega tak jadi pindah

Suasana Pasar Tani Kuala Besut yang beroperasi seperti biasa pada Jumaat.
Suasana Pasar Tani Kuala Besut yang beroperasi seperti biasa pada Jumaat.
A
A
A

BESUT - Peniaga Pasar Tani Kuala Besut yang sebelum ini diarahkan berpindah bagi memberi laluan pembinaan restoran makanan segera kini menarik nafas lega kerana mereka dibenarkan untuk terus berniaga di lokasi asal bermula Jumaat.

Wakil peniaga, Mohd Sukri Mohd Nor, 56, berkata, perkembangan positif itu diterima selepas rayuan dikemukakan mereka sebelum ini mendapat perhatian Majlis Daerah Besut (MDB) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh.

"Hasil perbincangan mereka sebelum ini memutuskan untuk mengekalkan lokasi asal yang menjadi tapak perniagaan kami di sini.

"Langkah ini dapat membantu peniaga untuk terus mencari rezeki di tapak asal yang sangat sinonim sebagai pusat ekonomi penjaja kecil di Kuala Besut" katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Mohd Sukri memberitahu, pengunjung yang datang ke situ pada Jumaat meriah seperti minggu-minggu sebelum ini.

"Kita harap Pasar Tani Kuala Besut akan terus menjadi tarikan pelancongan di sini dan dapat merancakkan lagi aktiviti ekonomi peniaga," katanya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Nor Hasanah Othman, 40, berkata, dia berasa lega kerana dapat berniaga di tapak asal berbanding pindah ke lokasi baharu.

"Saya rasa lega sangat dengan keputusan ini. Rasa tak terbeban sebab tak perlu pindah ke lokasi baharu seperti yang dicadangkan sebelum ini," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Zainudin Zakaria, 56, pula berkata, keputusan diambil MDB bersama pemimpin di situ amat dihargai mereka.

"Terima kasih banyak-banyak kerana mendengar suara peniaga yang mahu kekal di tapak asal. Pengunjung pun ramai yang lebih selesa datang ke sini kerana lebih dekat untuk berjalan kaki," katanya.

Sementara itu, MDB dalam satu posting di Facebook pada Khamis memberitahu semua peniaga Pasar Tani Kuala Besut dibenarkan kembali berniaga di tapak asal bermula Jumaat.

Katanya, orang ramai dialu-alukan untuk terus datang ke situ bagi memberikan sokongan kepada golongan peniaga.

Pada 23 Ogos lalu, Sinar Harian melaporkan sekumpulan peniaga membantah keputusan MDB memindahkan mereka ke lokasi lain untuk memberi laluan kepada pembinaan rangkaian restoran makanan segera (McDonald's) di tapak perniagaan itu.

Katanya, tindakan itu dikhuatiri akan menjejaskan hasil jualan memandangkan lokasi baharu tidak strategik dan kurang mendapat tumpuan ramai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!