SJKC Serdang Baru 1 juara pertandingan koir

SJKC Serdang Baru 1, Seri Kembangan memenangi konduktor terbaik dan lagu tema terbaik. - Foto Qurratul’aina Quddus
SJKC Serdang Baru 1, Seri Kembangan memenangi konduktor terbaik dan lagu tema terbaik. - Foto Qurratul’aina Quddus
A
A
A

SHAH ALAM - Keharmonian suara memukau dengan ekspresi muka menarik telah berjaya mengangkat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Serdang Baru 1, Seri Kembangan di sini sebagai juara pertandingan koir sekolah rendah sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari.

Guru pembimbing, Ong Zen Kai berkata, beliau sangat berpuas hati dengan pencapaian kumpulan pelajar tersebut yang memberi komitmen tinggi sepanjang latihan selepas tamat waktu persekolahan.

“Saya memilih ahli kumpulan koir ini dengan bertanyakan minat mereka dan siapa yang ingin belajar menyanyi. Jadi saya buat uji bakat dan beri ujian suara.

SJKC Serdang Baru 1, Seri Kembangan juara pertandingan koir sekolah rendah sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari. - Foto Qurratul’aina Quddus
SJKC Serdang Baru 1, Seri Kembangan juara pertandingan koir sekolah rendah sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari. - Foto Qurratul’aina Quddus

“Sepanjang saya mengajar mereka, tiada sebarang masalah besar yang dihadapi. Para pelajar memberikan komitmen yang sangat bagus dan mereka sangat baik,” katanya yang juga guru Bahasa Inggeris dan muzik sekolah berkenaan.

Sebanyak 10 sekolah rendah menyertai pertandingan koir tersebut dengan tempat kedua dimenangi SKJC Puay Chai dan ketiga, SK Taman Seroja manakala keempat, SK Bandar Sri Damansara dan kelima, SK TUDM Subang.

Penganjuran karnival selama tiga hari dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) itu menghimpunkan 100 pempamer dan lebih 50 aktiviti disediakan kepada pengunjung sehingga Ahad ini di Dataran Karangkraf Seksyen 15 dekat sini.

Karnival berkenaan diadakan serentak bersama SinarPlus Makan Fest dan Jualan Gudang Karangkraf untuk pengunjung berhibur, belajar serta membeli-belah dalam masa yang sama.

Artikel Berkaitan:

Ujar Zen Kai, selain fokus terhadap kelab koir, kecemerlangan dalam kelas tidak diabaikan bagi memastikan pelajar tetap mencatatkan keputusan baik dalam peperiksaan.

“Saya rasa dari segi keputusan ujian, mereka semakin meningkat kerana saya sudah berpesan untuk menjadi ahli kelab koir sekolah, mereka perlu mempunyai sahsiah yang bagus dan budi bahasa yang tinggi.

“Kami juga akan ada satu lagi pertandingan peringkat kebangsaan pada minggu depan bagi mewakili Selangor,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!