‘Kemakmuran Bersama’ sebagai naratif nasional baharu
SETAHUN sudah Malaysia Baharu, Malaysia di bawah pemerintahan parti politik selain daripada Barisan Nasional/Perikatan. Setahun selepas peristiwa penting 9 Mei 2018 di mana rakyat Malaysia telah mengundi untuk menukar kerajaan Persekutuan mereka, sekali gus melakar sejarah dan menjadi bualan dunia.
Terma ‘Malaysia Baharu’ itu diberi untuk membezakan Malaysia sebelum 9 Mei 2018 dan Malaysia pasca 9 Mei 2018. Namun seperti tulisan penulis sebelum ini, ‘Malaysia Baharu’ itu sebenarnya belum wujud; ia tidak wujud hanya kerana majoriti rakyat menolak Barisan Nasional setahun lepas. Dalam masa 12 bulan ini, banyak cabaran yang telah negara kita tempuhi di bawah pemerintahan baharu.
Isu ekonomi, isu kos sara hidup dan isu hubungan antara kaum adalah di antara isu-isu yang membelenggu rakyat. Langkah kerajaan baharu juga sering diperhati rakyat dalam perkara-perkara ini.
Penulis yakin bahawa isu ekonomi dan kos sara hidup akan ditangani oleh kerajaan akhirnya. Langkah-langkah perit yang diambil pada awal pemerintahan akan membuahkan hasil dan projek-projek mega yang telah disemak dan akan beroperasi semula seperti ECRL akan membawa kesan positif kepada ekonomi negara.Tetapi, isu hubungan antara kaum tidak begitu mudah diselesaikan. Apatah lagi terdapat pihak-pihak yang menangguk di air keruh dan menggunakan isu-isu ini bagi tujuan politik mereka.
Jika dibiarkan, isu-isu ini boleh memecah-belahkan masyarakat dan menjadi halangan kepada segala usaha untuk membina semula negara ini. Naratif yang dibawa oleh mereka ini makin mendapat sokongan dalam persekitaran di mana hak untuk bersuara dan mengeluarkan pendapat adalah lebih bebas daripada terdahulu.
Siapa tidak pernah menerima WhatsApp yang berbaur perkauman disebarkan dalam alam maya tanpa kekangan.
Maka perlu ada naratif lain untuk melawan naratif perkauman yang dibawa oleh mereka tidak bertanggungjawab. Perlu ada naratif nasional yang inklusif, yang menyatupadukan rakyat untuk mara ke hadapan.
Pada masa yang sama rakyat pula tertanya-tanya tentang rancangan baharu ekonomi negara yang seterusnya untuk menyelesaikan kemelut sekarang.
Sewaktu perutusan perdana sempena satu tahun Malaysia Baharu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah memperkenalkan matlamat baharu kerajaan, ‘Kemakmuran Bersama’ yang bertujuan untuk meningkatkan kuasa beli rakyat serta menghapuskan jurang pendapatan dan kekayaan antara kelas.
Menurut beliau, Kemakmuran Bersama ini adalah usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara “yang terus menerus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil dan inklusif (equitable growth) di setiap peringkat rantaian nilai, kelas, kaum dan geografi” sehingga mewujudkan rasa keharmonian dan kestabilan dalam kalangan rakyat menjelang tahun 2030.
Ia mempunyai tiga objektif. Pertamanya, untuk memastikan jurang pendapatan dan kekayaan rakyat dapat ditangani.
Kedua, ia adalah Model Pembangunan Baharu untuk semua, bagi ekonomi yang lebih terstruktur, progresif, berpaksikan ilmu dan bernilai tinggi dengan penyertaan masyarakat yang menyeluruh di semua peringkat.
Akhirnya, ia bertujuan menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersatu, makmur dan bermaruah, seterusnya muncul sebagai paksi ekonomi Asia. Sekiranya ‘Kemakmuran Bersama’ ini mendapat sokongan rakyat, ia boleh menjadi naratif nasional yang boleh melawan naratif perpecahan dan perkauman yang disebut di atas.
Demi Malaysia yang lebih baik, penulis berharap usaha kerajaan ini akan berjaya.
* Syahredzan Johan ialah seorang peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!