Warga emas kerah kudrat jaga anak sakit misteri

Roslina memerlukan perhatian Kamariah setiap hari untuk melakukan rutin harian termasuk makan dan minum.
Roslina memerlukan perhatian Kamariah setiap hari untuk melakukan rutin harian termasuk makan dan minum.
A
A
A

MACHANG - Berusia lebih separuh abad, Kamariah Daud, 70, terpaksa mengerah sepenuh kudratnya untuk menjaga anak yang menghidap penyakit misteri lebih dua tahun lalu.

Kamariah berkata, rutin hariannya hanya menumpukan sepenuh perhatian kepada Roslina Mohamad, 42, yang baru dua bulan dapat duduk dan menyuap makanan sendiri.

Menurut Kamariah, sebelum Roslina terlantar sakit, anaknya itu kerap mengadu bermimpi pelbagai perkara pelik termasuk banyak ulat dan biawak masuk ke dalam rumah, mimpi bersalin dan menyusukan anak.

"Bagi mengurangkan deritanya, pelbagai usaha dilakukan termasuk berjumpa pakar rawatan tradisional.

"Itulah ikhtiar terakhir saya selepas doktor mengesahkan dia tidak mempunyai penyakit kronik," katanya ketika ditemui di kediamannya di sini pada Jumaat.

Berkongsi derita Roslina, ibu kepada tujuh anak itu memberitahu, dalam tempoh lebih setahun lalu anaknya bukan sahaja mengalami bengkak tangan dan kaki malah anggota tubuhnya itu bertukar hitam.

Roslina tidak mampu menelan makanan walaupun bubur nasi yang dimasak oleh Kamariah.
Roslina tidak mampu menelan makanan walaupun bubur nasi yang dimasak oleh Kamariah.

Ketika itu juga kata Kamariah, ada anggota badan Roslina yang berkudis kerana terlalu lama terlantar menyebabkan dia terpaksa menyalin lampin pakai buang dan pakaian yang dipakai.

Artikel Berkaitan:

"Saya mengambil keputusan berhenti menoreh getah dan menjaganya setiap hari kerana dia tidak boleh bergerak dan semuanya terpaksa diuruskan.

"Mujur anak-anak lain membantu menghulurkan wang tetapi mereka juga mempunyai komitmen terhadap keluarga," katanya.

Roslina yang juga ibu tunggal tidak dapat menumpukan perhatian kepada tiga anaknya yang berusia antara enam hingga sembilan tahun menyebabkan mereka mengalami masalah untuk ke sekolah.

"Alhamdulillah, ada jiran dan individu membantu kami dengan menghulurkan derma yang dapat mengurangkan beban terutama kos membeli lampin pakai buang dan tisu," katanya.

Jelas Kamariah, anaknya itu banyak menggunakan tisu selain lampin pakai buang kerana selalu membuang semula makanan yang dimasukkan ke dalam mulut.

"Dia tidak boleh menelan makanan termasuk bubur nasi yang saya masak kerana kerongkongnya dirasakan tersumbat dan pedih selain terasa mengunyah gumpalan rambut," katanya.

Kamariah berharap Roslina dapat sembuh seperti biasa dan menjalani hidup normal seperti sebelum kejadian ini.

"Saya selalu berdoa dia kuat melawan penyakitnya dan boleh bekerja serta memberi perhatian kepada anak-anak," katanya.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Rakyat bernombor 22-024-169661-1 atas nama Roslina Mohamad atau boleh menghubunginya di talian 01121236516.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!