KPM perkukuh sistem pendidikan dengan fokus manusiawi
SHAH ALAM - Sistem pendidikan negara akan terus memberi fokus dan penekanan terhadap aspek manusiawi serta nilai-nilai yang didorong dengan penghayatan kasih sayang dan saling menghormati.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menjelaskan, penerapan aspek berkenaan amat penting bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan, selamat dan positif dapat diwujudkan.
"Saya percaya dalam pendidikan, ia bukan sesuatu dasar keras dengan tiada langsung fleksibiliti, empati dan sisi manusiawi.
"Aspek manusiawi juga penting dalam pentadbiran, sebab itu KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) buat sesi ulangan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) untuk beri peluang kepada mereka (yang tercicir) bagi memastikan pendidikan dapat diakses di mana juga mereka berada," katanya ketika program Town Hall Rakyat Bersama Fadhlina Sidek sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari di Kumpulan Karangkraf, di sini pada Jumaat.
Program itu dikendalikan hos, Samuel Isaiah yang juga penerima Top 10 Anugerah Hadiah Guru Global 2020..
Dalam pada itu Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal memaklumkan, isu keciciran pelajar menjadi komitmen utama KPM ketika ini dan langkah memuktamadkan dasar pendidikan juga sedang diperhalusi khasnya pelaksanaan Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) dan K11 untuk sekolah menengah.
"KPM akan memastikan perluasan model komprehensif K9 dan K11 yang difikirkan akan memberi impak besar.
"Ada tempat mencabar (contoh) di Kelantan, terdapat 14 gugusan pulau dengan kos untuk anak-anak ke sekolah sangat tinggi (iaitu) RM30 sehari bagi pengangkutan bot. Justeru pendidikan jadi isu meruncing di sana.
"Insya-ALLAH dari semasa ke semasa banyak lagi intevensi yang akan dilakukan oleh KPM termasuk memastikan penglibatan komuniti dan intervensi khusus yang difikirkan setakat ini menghasilkan inisiatif terbaik dalam memastikan anak-anak terus ke sekolah," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!