Bersara awal trauma rakan maut depan mata

Hassan (kanan) menceritakan kejadia serang hendap ketika kunjungan Mohamad Ismail sempena program Jejaka Perwira bagi sambutan Kemerdekaan dan Hari Malaysia.
Hassan (kanan) menceritakan kejadia serang hendap ketika kunjungan Mohamad Ismail sempena program Jejaka Perwira bagi sambutan Kemerdekaan dan Hari Malaysia.
A
A
A

KOTA BHARU - Pengalaman memangku dua rakan karib maut ditembak komunis 48 tahun lalu menyebabkan bekas pesara polis, Hassan@Yusof Jaafar, 76, mengalami trauma hingga kini.

Keadaan dua rakan yang ditembak di dada itu masih lagi menghantuinya malah dia akan menangis mengenangkan mereka yang dianggap seperti adik-beradik sendiri.

Berkongsi peristiwa hitam berkenaan, Hassan yang ketika itu berpangkat konstabel dalam Pasukan Polis Hutan (PPH) juga mengambil keputusan bersara awal kerana tidak tertanggung menahan kesedihan.

"Ketika itu usia kami masih muda malah saya sendiri hanya 27 tahun. Mereka juga dalam 20-an," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Padang Sekolah pada Khamis.

Hassan menerima kunjungan Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin sempena program Jejaka Perwira bagi sambutan Kemerdekaan dan Hari Malaysia.

Menurut Hassan, ketika kejadian platun mereka dalam perjalanan pulang dari operasi di sempadan Kedah-Thailand kerana ada pertukaran anggota petugas.

"Dari dalam kenderaan tentera, saya terdengar bunyi seperti ungka seolah-olah memberi isyarat sebelum kami tiba-tiba dihujani peluru dari atas bukit," katanya.

Jelasnya, serang hendap itu mengakibatkan dua rakannya yang dikenali sebagai Mat Yasin dan Mat Yusof maut manakala tiga lagi cedera.

Artikel Berkaitan:

Lebih menyedihkan katanya, selama 45 minit mereka berbalas tembakan dan komunis turut menggunakan mortar untuk membunuh anggota dan pegawai pasukannya.

"Saya tidak nampak komunis meninggal dunia, mereka merampas semua senjata kami dan masuk semula ke hutan," katanya.

Bapa lima anak itu berkhidmat selama 14 tahun dan mengambil keputusan berniaga sendiri selepas bersara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!