4,000 pegawai, anggota polis bertugas bantu kelancaran PRK

Petugas SPR, Nur Firdaus Mohamad Yusof, 45, dan Mohamad Asri Abd Samat, 31, (kanan) melakukan persiapan menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai di Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki, pada Jumaat. - Foto Bernama
Petugas SPR, Nur Firdaus Mohamad Yusof, 45, dan Mohamad Asri Abd Samat, 31, (kanan) melakukan persiapan menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai di Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki, pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 4,000 pegawai dan anggota polis akan bertugas bagi memastikan kelancaran proses pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, esok.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, penugasan melibatkan pemantauan dan kawalan keselamatan di semua pusat mengundi, pusat penjumlahan undi dan kawasan sekitar serta kelancaran lalu lintas.

Beliau berkata, kawalan lalu lintas antaranya di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri, serta lebuh raya dan plaza tol khususnya di daerah Johor Bahru dan Muar.

"Bagi memastikan kelancaran lalu lintas, polis juga telah meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor agar menghentikan sebarang kerja-kerja membaiki jalan.

"Tiada jalan akan ditutup esok bagi mengelakkan daripada berlaku kesesakan yang boleh menghalang dan menyebabkan pengundi lambat ke pusat mengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pada sidang media selepas memberikan amanat khas kepada semua pegawai dan anggota yang terlibat dalam kedua-dua PRK di Dewan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Skudai, pada Jumaat.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Johor Deputi Komisioner M Kumar.

Kamarul Zaman turut menasihati pengundi dan penyokong agar sentiasa mematuhi arahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan tidak menimbulkan sebarang kekecohan.

Artikel Berkaitan:

Pengundi juga katanya diminta untuk melaporkan kepada pihak polis sekiranya dihalang oleh mana-mana pihak untuk keluar mengundi.

Sebanyak 47 pusat mengundi membabitkan 294 saluran di Parlimen Pulai manakala DUN Simpang Jeram pula mempunyai sebanyak 14 pusat mengundi dengan 68 saluran.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!