Kurikulum pendidikan perlu fleksibel dan kalis masa depan - Fadhlina
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kurikulum pendidikan negara harus bersifat dinamik dan merentas beberapa disiplin, antaranya fleksibel serta perlu kalis masa depan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, dalam persiapan ke arah itu, ada intervensi yang dilakukan agar ia seiring dengan perkembangan semasa.
“Bagi saya, kurikulum pada hari ini sebenarnya telah membuatkan anak-anak kita jauh lebih bersedia. Sebab itu ada pepatah daripada Saidina Ali yang menyebut bahawa, ‘didiklah anak kamu dengan zaman dia, bukan zaman kamu’. Zaman kita dengan mereka tidak sama.
“Dalam keadaan hari ini, banyak perkembangan yang merentas disiplin ilmu dan ia mesti menjadi sebahagian daripada dinamika kurikulum kita. Dari situ, anak-anak akan dapat mempelajari dan dapat ‘catch up’ dengan apa yang berlaku dengan dunia hari ini, Insya-ALLAH.
“Mudah-mudahan dengan Kurikulum 2027 yang sedang dibangunkan, kita akan lebih bersedia dan menjana kurikulum yang kalis masa depan, ini cukup penting,” katanya ketika program Town Hall Rakyat Bersama Fadhlina Sidek sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari di Kumpulan Karangkraf, di sini pada Jumaat.
Program itu dikendalikan hos, Samuel Isaiah yang juga penerima Top 10 Anugerah Hadiah Guru Global 2020.
Fadhlina turut kagum dengan keupayaan pelajar kini yang cepat menguasai teknologi berbanding orang lama sepertinya.
“Saya fikir, kita kena ada banyak lagi ruang untuk percaya kepada potensi anak-anak ini. Saya ibu kepada enam anak, jadi saya ada ‘audit dalaman’ di rumah.
“Mereka sangat kritikal terhadap apa yang berlaku sekarang. Jadi, saya kena pastikan apa yang mereka dapat, pelajar lain juga dapat benda yang sama,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!