Kian Meng-Pei Jing mara ke separuh akhir Terbuka China

Kian Meng (belakang) dan Pei Jing akan menentang pasangan Korea Selatan dalam saingan separuh akhir Terbuka China pada Sabtu. - Foto Badminton Photo
Kian Meng (belakang) dan Pei Jing akan menentang pasangan Korea Selatan dalam saingan separuh akhir Terbuka China pada Sabtu. - Foto Badminton Photo
A
A
A

ISTILAH enggan berputus asa membuahkan hasil buat beregu campuran negara, Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing yang bergelut dengan prestasi sebelum ini apabila meraih slot separuh akhir Terbuka China di Changzhou pada Jumaat.

Lebih manis pasangan profesional itu mengesahkan kemaraan selepas mengejutkan pasangan nombor empat dunia dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai atau terkenal dengan julukan Bass-Popor di peringkat suku akhir.

Kian Meng-Pei Jing yang menghuni ranking ke-23 dunia mudah menewaskan pasangan negara jiran itu menerusi kemenangan 21-18, 21-19 dalam saingan yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik.

Sebagai rekod Bass-Popor merupakan lawan yang cukup liat untuk ditundukkan oleh Kian Meng-Pei Jing.

Mereka hanya berjaya meraih dua kemenangan daripada 11 pertemuan di peringkat antarabangsa.

Kejayaan itu juga merupakan kemaraan pertama Kian Meng-Pei Jing ke pentas separuh akhir pada tahun ini.

Mereka sebelum ini gagal mempamerkan prestasi terbaik dan kerap tersingkir pada Pusingan 32 atau Pusingan 16 dalam 14 kejohanan yang disertai.

Kian Meng-Pei Jing akan membuat perhitungan dengan pilihan kelima kejohanan dari Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Yu Jung bagi perebutan tiket ke gelanggang final pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Pasangan dari negara Kimchi itu masih segar dengan kejayaan merangkul gelaran Kejohanan Dunia 2023 di Denmark baru-baru ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!