Juwaidi harap tuah busur baharu

Juwaidi bakal membuat penampilan ketiga di Sukan Asia. - Foto Facebook Juwaidi Mazuki
Juwaidi bakal membuat penampilan ketiga di Sukan Asia. - Foto Facebook Juwaidi Mazuki
A
A
A

PEMANAH compound lelaki negara, Mohd Juwaidi Mazuki menaruh harapan agar busur baharu dari Amerika Syarikat bakal memberi tuah kepadanya untuk menyinar pada Sukan Asia Hangzhou 2022 di China.

Walaupun baru sahaja menggunakan busur direka khas itu, Mohd Juwaidi yang bakal membuat penampilan ketiga di Sukan Asia selepas edisi 2014 (Incheon, Korea Selatan) dan 2018 (Jakarta Palembang, Indonesia) dapat merasakan perubahan ketara berlaku dalam teknik panahannya ketika sesi latihan di Nilai, Negeri Sembilan.

"Saya tandatangani kontrak baharu bersama jenama baharu selama tiga tahun dan dapat rasakan perubahan agak ketara walaupun baru masuk minggu kedua, lebih senang dipakai dan banyak membantu ketika panahan. Busur pula tak banyak gerak dan stabil.

"Saya harap (busur baharu) bawa tuah (pada Sukan Asia) kerana ada dalam kalangan rakan pemanah saya dari negara lain yang gunakan jenama ini, walaupun baru saja seminggu pakai boleh dapat pingat emas pada Piala Dunia 2023 di Paris (bulan lepas)," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas sesi lawatan Ketua Kontinjen negara ke Sukan Asia Hangzhou 2022, Datuk Chong Kim Fatt di Nilai pada Jumaat.

Pemenang perak individu lelaki compound Piala Asia 2023 di Singapura, Jun lepas itu berkata, beliau akan menguji keberkesanan busur tersebut buat kali pertama dalam pertandingan dengan menyertai kejohanan jemputan anjuran Persatuan Memanah Negeri Selangor di Bangi, esok.

Selain acara individu lelaki, atlet berusia 33 tahun itu berkata, beliau akan bersaing bagi dua acara iaitu pasukan bercampuran bersama Fatin Nurfatehah Mat Salleh dan pasukan lelaki.

"Bagi pasukan lelaki saya akan beraksi bersama Alang Ariff Aqil Muhammad Ghazalli, Mohamad Syafiq Md Ariffin atau Wong Co Wan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Presiden Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia, Datuk Abdul Hamid Hasan berkata, pihaknya menyasarkan kem memanah negara menyumbang sekurang-kurangnya gangsa dalam acara compound atau recurve di Hangzhou.

Sukan Asia Hangzhou 2022 dijadual berlangsung dari 23 Sept hingga 8 Oktober ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!