PTPTN dekati pengunjung, bantu kongsi maklumat perkhidmatan
SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi Karnival Pendidikan Sinar Bestari mendekati pengunjung dengan membantu memberi maklumat mengenai perkhidmatan yang ditawarkan.
Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, selain memberi informasi, pihaknya juga membantu pengunjung mendaftarkan akaun bagi mereka yang belum berdaftar.
Beliau berkata, pihaknya juga turut menganjurkan aktiviti-aktiviti seperti pertandingan mewarna, puzzle dan memberi hadiah-hadiah kempen yang sedang berlangsung ketika ini.
“Bagi mereka yang hendak mendapatkan maklumat lanjut berkenaan PTPTN sama ada permohonan pinjaman, bayaran balik ataupun nak buka akaun SSPN sekalipun, boleh datang berkunjung ke reruai kami.
“Ini adalah salah satu program turun padang PTPTN untuk mendekati masyarakat dan juga memaklumkan kepada masyarakat tentang perkhidmatan-perkhidmatan yang kami tawarkan sama ada dalam bentuk pinjaman atau simpanan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Dalam pada itu, Ahmad Dasuki berkata, melalui program-program yang dilaksanakan, ia merupakan sebahagian daripada promosi PTPTN menggalakkan masyarakat untuk merancang kewangan pada masa depan melalui simpanan SSPN.
“Alhamdulillah saya lihat setakat ini sambutan amat menggalakkan. Jadi kita nak jemput semua ibu bapa supaya berkunjung ke reruai PTPTN di karnival ini terutamanya bagi menyertai pertandingan yang disediakan,” katanya.
Karnival Pendidikan Sinar Bestari dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor itu diadakan selama tiga hari bermula Jumaat sehingga Ahad ini.
Pelbagai aktiviti, pameran dan pertunjukan yang menarik menanti pengunjung bermula jam 9 pagi sehingga 7 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!