Polis cilik derita leukemia meninggal dunia

Hasrat Muhamad Wirdas menjadi pegawai polis berjaya ditunaikan menerusi organisasi Make -A- Wish dan IPD Batu Gajah, Jun lalu. - Foto: FB Polis Daerah Batu Gajah
Hasrat Muhamad Wirdas menjadi pegawai polis berjaya ditunaikan menerusi organisasi Make -A- Wish dan IPD Batu Gajah, Jun lalu. - Foto: FB Polis Daerah Batu Gajah
A
A
A

BATU GAJAH - "Ibu redakan abang pergi". Itulah pemintaan terakhir Muhamad Wirdas Hafiy Zhahrin Ain, 10, kepada ibunya sebelum ditidurkan, Ahad lalu.

Muhamad Wirdas yang menderita leukemia tahap tiga sejak setahun lalu bagaimanapun menghembuskan nafas terakhir pada Khamis ketika menjalani rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dekat Ipoh.

Ibunya, Nurul Amalina Mohd Arbi, 32, berkata, anak sulung daripada empat beradik itu dimasukkan ke hospital sejak 15 Ogos kerana mengalami cirit-birit.

"Sebelum ditidurkan, dia minta izin untuk lepaskannya dan beritahu keadaan badannya sudah rosak. Dia seolah-olah sudah tahu akan pergi meninggalkan kami.

"Keadaan kesihatan dia sudah merosot hinggakan perlu diintubasi. Doktor pun ada maklumkan bahawa peluangnya untuk hidup 50-50 apabila dia dijangkiti rotavirus selain terdapat jangkitan kuman dalam darah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Foto Muhamad Wirdas (kanan) bersama keluarga. Laporan Sinar Harian tahun lalu.
Foto Muhamad Wirdas (kanan) bersama keluarga. Laporan Sinar Harian tahun lalu.

Kisah murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Yussuf itu disiarkan Sinar Harian tahun lalu berikutan semangatnya melawan penyakit dengan melakukan jualan makanan ringan.

Selain itu, Muhamad Wirdas turut tular apabila impiannya merasai menjadi pegawai polis tercapai, Jun lalu apabila dia dibawa melawat dan menaiki kereta MPV di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Batu Gajah bersama keluarganya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Nurul Amalina, dia dan suami reda dengan pemergian Muhamad Wirdas yang dianggap penyeri dalam keluarga.

"Kami gembira dapat menunaikan impiannya menjadi seorang polis. Itulah cita-citanya sejak berusia empat tahun.

"Selepas ini, hanya alat permainan dan bajunya menjadi pengubat rindu buat kami. Terima kasih kepada semua pihak termasuk polis yang telah membantu dalam urusan pengebumian hari ini," katanya.

Jenazah Muhamad Wirdas selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cangkat Belengkor dekat sini.

ARTIKEL BERKAITAN:

Kanak-kanak derita kanser kuat semangat, gigih berniaga

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!