SMK Kepong juara koir Karnival Pendidikan Sinar Bestari
SHAH ALAM - Sekolah menengah kebangsaan (SMK) Kepong, Selangor menyapu bersih kemenangan apabila dinobatkan sebagai johan pertandingan koir kategori sekolah menengah, lagu tema terbaik dan konduktor koir terbaik sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari pada Jumaat.
Wakilnya, Lim Jia Xuan, 17, berkata, dia berasa bangga dengan kemenangan yang diperoleh bersama rakan pasukan yang lain setelah bertungkus lumus menjalani latihan setiap hujung minggu.
Menurutnya, pasukan mereka juga pernah mewakili Selangor ke peringkat kebangsaan pada tahun 2022 dan telah mendapat tempat kedua pada pertandingan tersebut.
"Saya dah sertai kumpulan koir sekolah sejak Tingkatan Satu lagi. Latihan untuk penambahbaikan pergerakan dan lontaran suara akan dilakukan setiap hujung minggu.
"Saya gembira sebab kumpulan kami dapat terus kekalkan kemenangan bagi mana-mana pertandingan yang kami sertai," katanya kepada Sinar Harian.
Sebanyak 10 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) menyertai pertandingan koir tersebut dengan tempat kedua dimenangi SMK Kepong (Team Permata), SMK Putrajaya Presint 11 (1) memenangi tempat ketiga, SMK Seksyen 10 Kota Damansara (keempat) dan SMK Bandar Banting (kelima).
Konduktor terbaik dimenangi oleh Yoo Hao Chen, 15, dari SMK Kepong.
Penganjuran karnival selama tiga hari dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) itu menghimpunkan 100 pempamer dan lebih 50 aktiviti disediakan kepada pengunjung sehingga Ahad ini di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15 di sini.
Karnival berkenaan diadakan serentak bersama SinarPlus Makan Fest dan Jualan Gudang Karangkraf untuk pengunjung berhibur, belajar serta membeli-belah dalam masa yang sama.
Sementara itu, guru pengiring pasukan koir SMK Bandar Banting, Nur Athirah Abdul Aziz meluahkan rasa terharu meskipun hanya berjaya merangkul tempat kelima memandangkan ia adalah penyertaan pertama kali sekolah tersebut.
Katanya, kemenangan itu adalah rezeki dan semangat baharu untuk mendidik anak-anak muridnya dengan lebih baik.
“Banyak cabaran yang kami dihadapi. Ada pelajar sakit, saya sendiri pun sakit. Apabila undi, kami dapat giliran pertama pula...kami tiada pengalaman, jadi ia memang sangat mencabar.
"Saya anggap ini sebagai pengalaman bagi setiap orang dan kami akan bangkit untuk menyertai mana-mana pertandingan koir lagi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!