Batik Chempaka julang martabat pekerja kurang upaya
MERBOK – Siapa sangka produk kraftangan yang dihasilkan Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Merbok seperti dompet, tali lanyard, kain pasang, beg jinjing (tote bag) dan pelbagai lagi cenderahati berasaskan batik, dihasilkan pekerja kurang upaya.
Namun, lebih mengharumkan nama Malaysia, produk itu sebenarnya telahpun berjaya menembusi pasaran luar negara sehingga ke Jepun sejak kira-kira 10 tahun lalu.
Penyelia PPDK Merbok, Norliza Md Akhir berkata, aktiviti mencanting batik yang dimulakan pada 2003 bermodalkan hanya RM500, kini telah berkembang maju sehingga telah dijenamakan semula sebagai Chempaka iaitu simbolik kepada bunga cempaka.
Jelasnya, permulaan yang baik pada 2013 apabila dibantu sukarelawan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) yang berjaya menempatkan produk PPDK Merbok ke sebuah kedai menjual cenderahati di Matsusaka Mie di negara matahari terbit itu.
“Antara produk yang dipasarkan termasuk kain furoshiki, beg simpul Jepun, butang balut yang digunakan sebagai aksesori pakaian musim sejuk, kimono dan pakaian musim panas, yukata, serta pelbagai lagi.
“PPDK Merbok juga pernah mewakili Malaysia dalam Pertandingan Paraart di Tokyo pada 2019 melalui hasil karya Mohammad Luqman Shamsudin yang menghidap autisme bertajuk ‘ Beatiful Shape of My Hearts’,”tambahnya.
Jelas Norliza, pada peringkat permulaan, batik diperkenalkan bagi tujuan pendedahan kepada golongan kurang upaya untuk menghargai warisan budaya di samping mengasah kreativiti masing-masing dan peluang hak sama rata kepada semua golongan untuk berkarya.
“Bagaimanapun, setelah melihat potensi memasuki pasaran tempatan dan luar negara membolehkan kami tidak menoleh ke belakang lagi dengan hasrat akan mempelbagaikan produk, meluaskan pasaran dan meningkatkan promosi,”jelasnya.
Sehingga kini, PPDK Merbok yang dibarisi 12 individu berusia 18 hingga 37 tahun meliputi pelbagai kategori termasuk masalah pembelajaran dan kurang upaya fizikal, berjaya menghasilkan lebih 20 produk berasaskan batik, termasuklah kain pasang untuk lelaki dan wanita, beg, batik kit, dompet, getah ikat rambut, penunjuk Al-Quran dan hiasan dinding.
“Kenangan manis apabila batik PPDK Merbok pernah menjadi pilihan Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang dijadikan cenderahati kepada pihak ketiga.
“Kita juga bersedia menerima tempahan kain seragam batik untuk pakaian penjawat awam mahupun ‘custome made’ secara ekslusif kepada mana-mana individu yang berminat,”jelasnya.
Lebih membanggakan, pertubuhan itu berjaya memperolehi geran berjumlah RM100,000 melalui bantuan keusahawanan bawah inisiatif Pemerkasa, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi tujuan pembelian mesin dan peralatan, bahan mentah, latihan dan kursus bimbingan bagi tahun 2022.
“Premis yang beroperasi dari pekan Merbok ini juga terpilih sebagai calon pemangkin Catalyst Keusahawanan Sosial Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi tahun 2023,” katanya.
Selain produk berkualiti, proses ubah suai dan naik taraf premis telah berjaya menarik lebih ramai pengunjung termasuk kehadiran 21 peserta kumpulan Study Tour From Japan, Jica, guru Program Pendidikan Khas Integrasi, institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta serta pihak industri yang ingin menjalinkan kerjasama.
“Saya berharap produk Chempaka akan lebih dikenali dan mendapat sokongan meluas masyarakat untuk merealisasikan impian kami agar mampu berdiri setanding batik di pasaran,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!