Perpustakaan di Australia kecoh gara-gara durian
CANBERRA - Ratusan pelajar diarah keluar dari sebuah perpustakaan di bandar Canberra, Australia ekoran kekecohan yang disebabkan bau buah durian.
Dalam kejadian Jumaat lalu, pasukan bomba dikejarkan ke perpustakaan Universiti Canberra setelah menerima laporan bau gas yang kuat pada kira-kira jam 2.30 petang (waktu tempatan).
Seramai 550 orang dibawa keluar dari bangunan tersebut dalam masa kurang enam minit sementara pasukan bomba mengesan punca bau.
Pihak bomba dilaporkan berjaya mengesan punca bau selepas pemeriksaan rapi selama satu jam.
"Apa yang diduga sebagai kebocoran gas ternyata adalah bau sisa buah durian yang dibuang ke dalam tong sampah," kata kenyataan pentadbiran perpustakaan terbabit di laman Facebook.
Tahun lalu, sebiji buah durian busuk yang ditinggalkan di perpustakaan Institut Teknologi Royal Melbourne (RMIT) turut mengakibatkan 500 pelajar dan guru terpaksa dipindahkan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!