KDEBWM pamer lori kompaktor teknologi tinggi urus sisa pepejal

Mahfuzah bersama lori kompaktor KDEBWM yang dibawakan khas sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari yang berlangsung di Kumpulan Kompleks Karangkraf sehingga Ahad ini.
Mahfuzah bersama lori kompaktor KDEBWM yang dibawakan khas sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari yang berlangsung di Kumpulan Kompleks Karangkraf sehingga Ahad ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Lori kompaktor berteknologi tinggi yang dipamerkan KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) menjadi antara tarikan kepada pengunjung Karnival Pendidikan Sinar Bestari yang berlangsung di Kumpulan Kompleks Karangkraf sehingga Ahad ini.

Penolong Pengurus Besar Komunikasi Korporatnya, Mahfuzah Muhammad Tarmidi berkata, pengunjung dibenarkan untuk bergambar memandangkan lori tersebut masih baru dan belum dilancarkan secara rasmi.

Menurutnya, selain pameran lori, KDEBWM turut membuka reruai sepanjang tiga hari karnival tersebut bertujuan untuk berkongsi dengan orang ramai mengenai skop kerja serta tanggungjawab syarikat berkenaan seterusnya membina kesedaran mengenai kepentingan penjagaan dan pengurusan sisa pepejal serta domestik.

“Mungkin orang ramai tahu cara untuk membuang sampah tetapi pelaksanaan untuk membuat pengasingan sampah terutamanya di rumah masih kurang diamalkan masyarakat di negara kita.

“Tidak semua sisa ini perlu dibuang dan berakhir di tong sampah kerana terdapat beberapa kategori barangan yang masih boleh dikitar atau diproses untuk tujuan komersial lain seperti botol plastik, aluminium, kertas dan kaca.

“Kami membuka reruai ini disebabkan faktor tersebut dan memberikan penerangan serta demonstrasi kepada pengunjung berkenaan pengasingan sampah mengikut kategori,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Penganjuran karnival selama tiga hari dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) itu menghimpunkan 100 pempamer dan lebih 50 aktiviti disediakan kepada pengunjung sehingga Ahad ini selain diadakan serentak bersama SinarPlus Makan Fest dan Jualan Gudang Karangkraf.

Artikel Berkaitan:

Mahfuzah Muhammad Tarmidi (tengah) di reruai Karnival Pendidikan Sinar Bestari pada Jumaat.
Mahfuzah Muhammad Tarmidi (tengah) di reruai Karnival Pendidikan Sinar Bestari pada Jumaat.

Pengunjung turut berpeluang untuk berkunjung ke reruai yang disediakan untuk melihat pameran dan pelbagai aktiviti yang disediakan oleh pempamer selain menambah pengetahuan.

Pada masa sama, Mahfuzah berkata, berdasarkan kajian yang dilakukan, kesedaran pengasingan sampah dan amalan kitar semula itu masih berada pada tahap yang rendah.

“Tidak sampai 40 peratus pengguna yang lakukan pengasingan dan jumlah tersebut masih rendah. Jadi kami ingin meningkatkannya dari tahun ke tahun agar orang ramai dapat mempraktikkan amalan tersebut.

“KDEBWM turut mempunyai pusat-pusat kitar semula yang berskala besar dan kecil seperti di Cyberjaya iaitu orang ramai boleh menghantar barangan tersebut untuk dijual,” ujarnya.

Tambahnya lagi, melalui reruai itu pihaknya turut memperkenalkan aplikasi dikenali sebagai iClean Selangor iaitu saluran yang memudahkan penduduk di negeri itu untuk membuat sebarang aduan dengan lebih cepat dan efisien.

“Sekiranya penduduk mempunyai aduan berkenaan lori tidak datang untuk mengutip sampah di rumah atau lewat, mereka boleh menggunakannya untuk memaklumkan kepada kami.

“Kami menggalakkan kepada pengunjung untuk memuat turun aplikasi ini untuk memudahkan kedua-dua belah pihak sama ada pemberi atau penerima aduan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!