Daftar pemilih tambahan Jun 2023 dibuka untuk semakan - SPR

SPR memaklumkan bahawa Daftar Pemilih Tambahan Bulan Jun Tahun 2023 (DPTBLN6/2023) telah diperaku semalam dan diwartakan pada Jumaat. - Gambar hiasan
SPR memaklumkan bahawa Daftar Pemilih Tambahan Bulan Jun Tahun 2023 (DPTBLN6/2023) telah diperaku semalam dan diwartakan pada Jumaat. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan bahawa Daftar Pemilih Tambahan Bulan Jun Tahun 2023 (DPTBLN6/2023) telah diperaku semalam dan diwartakan pada Jumaat.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, DPT BLN6/2023 dibuka untuk semakan selama 30 hari mulai hari ini hingga 7 Oktober.

"DPT BLN6/2023 ini mengandungi 38,491 nama warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 Jun 2023 hingga 30 Jun 2023 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu, 8,568 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 4,200 orang pemilih bertukar status/kategori pengundi,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, SPR menyediakan lima kaedah semakan bagi DPT BLN6/2023 iaitu portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my; portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my ; aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my; aplikasi mudah alih MySPR Semak atau Hotline Semakan Pendaftaran Pemilih di talian 03-88927218.

Beliau seterusnya menyeru warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 Jun 2023 hingga 30 Jun 2023 dan pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status, untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN6/2023.

Ikmalrudin berkata, sekiranya mereka mendapati nama tidak disenaraikan dalam DPT BLN6/2023, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

”Di samping itu mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya dengan mengisi Borang D melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun dari portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan ia hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan untuk membuat serahan dan membayar fi bantahan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN6/2023.

Artikel Berkaitan:

Untuk sebarang pertanyaan mengenai urusan semakan DPT BLN6/2023 ini, orang ramai boleh melayari portal rasmi SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau hubungi SPR di talian 03-88927218 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri, katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!