Pengamal media didakwa dikasari pegawai pengiring menteri
JOHOR BAHRU - Insiden pengamal media dikasari pegawai pengiring seorang menteri pada Selasa, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan petugas media mengenai isu keselamatan.
Pengerusi Kelab Media Johor, Mohamad Fauzi Ishak berkata, isu berkenaan dipandang serius dan tidak sepatutnya berlaku ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.
"Pada 5 September lepas telah berlaku dua insiden melibatkan pengamal media dikasari beberapa pegawai pengiring menteri terbabit dalam dua acara kempen parti politik berasingan di Taman Anggerik dan Taman Dahlia, Johor Bahru.
"Beberapa pegawai pengiring telah menghalang beberapa pengamal media ketika sidang media menteri berkenaan diadakan, antaranya menyentuh tangan seorang wartawan wanita yang sedang merakam sidang media tersebut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat malam.
Menurut Mohamad Fauzi, seorang jurugambar juga ditolak oleh pegawai pengiring semasa sedang mengambil gambar sewaktu sidang media.
"Pegawai pengiring juga bertindak mencubit belakang pinggang seorang lagi wartawan wanita beberapa kali bertujuan untuk menghalangnya melaksanakan tugas semasa sidang media.
"Suara wartawan wanita menjerit "jangan sentuh saya" turut terakam dalam rakaman sidang media berkenaan.
"Selain itu, perbuatan menyentuh tangan dan mencubit wartawan wanita sehingga mengakibatkan mangsa tidak selesa dan terancam, juga boleh dianggap sebagai gangguan seksual," katanya.
Justeru, Mohamad Fauzi berharap Insiden seumpama itu tidak berulang dan media seharusnya diberi peluang dan ruang untuk menjalankan tugas sebaiknya dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!