433 mangsa banjir dipindahkan ke PPS

Anggota APM Muallim membuat pemantauan di Kampung Chinggong di sini yang dinaiki air berikutan air Sungai Behrang melimpah akibat hujan lebat pada Jumaat. - Foto APM Muallim
Anggota APM Muallim membuat pemantauan di Kampung Chinggong di sini yang dinaiki air berikutan air Sungai Behrang melimpah akibat hujan lebat pada Jumaat. - Foto APM Muallim
A
A
A

TANJUNG MALIM - Seramai 433 penduduk Kampung Chinggong di sini ditempatkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga jam 10 malam berikutan banjir kilat yang melanda kampung berkenaan pada Jumaat.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Muallim dalam satu kenyataan memaklumkan, PPS dibuka di Dewan Orang Ramai Kampung Chinggong pada jam 7.30 malam itu melibatkan 85 keluarga.

Menurutnya, banjir berlaku disebabkan hujan berterusan selama lebih dua jam menyebabkan air Sungai Behrang melimpah ke kawasan rumah berhampiran.

"Angkatan Pertahanan Awam (APM) Muallim menerima panggilan dari ketua kampung mengenai banjir yang berlaku di Kampung Chinggong seterusnya anggota Pusat Kawalan Operasi Daerah telah bergerak menuju ke lokasi bagi memantau dan membuat penilaian risiko di kawasan banjir.

Mangsa banjir mendaftar di PPS yang dibuka di Dewan Orang Ramai Kampung Chinggong di sini susulan banjir kilat yang berlaku pada Jumaat. - Foto APM Muallim
Mangsa banjir mendaftar di PPS yang dibuka di Dewan Orang Ramai Kampung Chinggong di sini susulan banjir kilat yang berlaku pada Jumaat. - Foto APM Muallim

"Pemantauan awal dibuat di setiap rumah dan mendapati sebanyak 56 buah rumah dengan anggaran seramai 380 penduduk kampung yang telah dimasuki air," katanya menerusi kenyataan tersebut.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Salina Samsudin yang dihubungi memaklumkan segala keperluan mangsa banjir sedang diuruskan oleh pihak sekretariat dan makanan juga disediakan oleh Pejabat Ahli Parlimen Tanjung Malim.

Menurutnya, keadaan ketika ini terkawal dan banjir mulai surut tetapi laluan masuk ke rumah masing-masing masih dinaiki air menyebabkan mangsa yang kebanyakan merupakan OranAsli tidak lagi dibenarkan pulang.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kawasan kampung tersebut sering berlaku banjir bagaimanapun kejadian kali ini agak teruk berbanding sebelumnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!