PM bentang kajian separuh penggal RMKe-12 Isnin ini
SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau berkata, kajian tersebut adalah satu lagi tindakan kerajaan dalam merealisasikan agenda Ekonomi Madani yang diusulkannya.
"Ia adalah dokumen kebijakan yang signifikan dalam menentukan hala tuju pembangunan sosioekonomi negara seimbang dari segi pemikiran, spiritual dan material berteraskan nilai-nilai Madani.
"Sehubungan itu, petang tadi saya telah menerima dokumen Kajian Separuh Penggal RMKe-12 daripada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan timbalannya, Datuk Hanifah Hajar Taib serta Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menambah, dasar dan inisiatif yang bakal diumumkan adalah berpandukan kepada permasalahan, keperluan atau keutamaan rakyat, komuniti perniagaan serta kesemua negeri, bukan hanya dibentuk daripada pihak kementerian.
"Saya yakin KSP RMKe-12 ini akan dapat memacu pertumbuhan Malaysia yang lebih seimbang dan mapan di masa hadapan," ujarnya.
Kajian Separuh Penggal RMKe-12 2021-2025 disediakan bagi mengukur pencapaian sasaran bagi tempoh dua tahun pertama serta menghadapi cabaran-cabaran getir yang menjejaskan aspirasi RMKe-12.
Penyediaan Kajian Separuh Penggal RMKe-12 akan merangkumi kajian semula sasaran, strategi, inisiatif, program dan projek pembangunan bagi mencapai matlamat pembangunan serta pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan.
Sebelum ini, Rafizi berkata kajian tersebut perlu dinilai 100 peratus kerana tanggapan atau pun perancangan yang dibuat sebelum Covid-19 sudah tidak boleh diguna pakai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!