Mek Jah bantu suri rumah pasarkan produk daripada buluh, rotan
![Mek Jah menunjukkan produk kraf iaitu beg yang terdapat di kedainya.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2023/09/09/2337742.jpg)
TUMPAT - Minat terhadap keindahan hasil seni anyaman tangan mendorong seorang tukang jahit membantu para suri rumah memasarkan produk-produk kraftangan di Kampung Talak, Chabang Empat Tok Mek Ngoh di sini, sejak tiga tahun lalu.
Perusahaan yang dimulakan Mek Jah Said, 58, itu juga pada waktu sama negara sedang dilanda Covid-19 menyebabkan barangan tersebut tidak dapat dipasarkan.
Mek Jah berkata, oleh sebab keinginan untuk membantu penduduk setempat, dia sanggup menanggung risiko membeli barangan itu dan menjual di kedainya di kampung berkenaan.
“Mulanya, ada beberapa suri rumah dan kenalan iaitu penduduk kampung ini datang menawarkan badang yang diperbuat daripada buluh untuk diletakkan di kedai saya dan dijual.
“Saya bersetuju kerana ini membantu dan bermula dengan lima sahaja barangan pada masa itu dan kini sudah lebih 100 barangan kraftangan diperbuat daripada buluh serta rotan seperti tudung saji, bakul, beg tangan dan hiasan boleh didapati di kedai ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, pada Jumaat.
![Seorang kanak-kanak mengayakan kipas tangan dan topi yang dihasilkan daripada buluh.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2023/09/09/2337739.jpg)
Menurut wanita itu, selain jualan secara bersemuka, perniagaan barangan kraf secara dalam talian dilakukan oleh anak tunggal lelaki tunggalnya yang berusia 28 tahun.
Ujar Mek Jah, sehingga kini terdapat lebih 50 pembuat barangan kraf membekalkan produk kepadanya selain dapat membantu memelihara warisan dan kesenian yang terdapat di Kelantan.
“Pelanggan saya datang daripada pelbagai negeri, ada yang melancong dan anak perantau yang pulang ke kampung.
“Kebiasaannya wanita yang datang hendak membeli satu barang tetapi pulang dengan tiga barangan atau lebih kerana tertawan dengan keindahan produk-produk ayaman tangan,” kata Mek Jah.
![Pelbagai badang jenis badang buluh yang boleh digunakan untuk meletak makanan.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2023/09/09/2337736.jpg)
Tambahnya, turut menyimpan harapan, kawasan kampung itu akan menjadi kawasan pelancongan yang terkenal dengan produk kraf tangan pada masa depan.
“Saya teringin satu hari nanti, kampung ini menjadi pusat sehenti dan menjadi salah satu tumpuan lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara datang untuk mendapatkan produk keluaran tempatan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!