Teka-teki sasaran pingat Sukan Asia
SERAMAI 289 atlet yang bakal menggalas cabaran Malaysia pada Sukan Asia Hangzhou 2022 di China akhir bulan ini mungkin tanpa sasaran pingat emas.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nazifuddin Najib yang menyebut bahawa fokus utama kali ini adalah pungutan pingat secara keseluruhan.
Menurutnya, pendekatan itu bagi mengurangkan tekanan kepada atlet dan perkara tersebut disyorkan dalam mesyuarat penetapan sasaran pingat buat kontinjen negara baru-baru ini.
Bagaimanapun katanya, perkara tersebut terserah kepada pertimbangan dan keputusan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
“Dalam perbincangan sasaran kontinjen ada cadangan untuk membuat sasaran keseluruhan pingat bagi kurangkan tekanan kepada atlet.
“Benda ini masih dalam perbincangan, kita kena lihat keputusan YBM (Yang berhormat menteri) atas sasaran Isnin ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.
Berdasarkan kemas kini terbaharu, seramai 289 atlet dan 145 pegawai akan mewakili Malaysia dalam Sukan Asia Hangzhou 2022.
Nazifuddin menjelaskan di sebalik cadangan tersebut para atlet tetap komited dan bertekad melakukan yang terbaik untuk memburu podium termasuk pingat emas pada temasya terbesar Asia itu.
“Semangat para atlet berkobar-kobar untuk memberikan yang terbaik buat negara," katanya.
Dalam temasya terakhir di Jakarta/Palembang pada 2018, kontinjen negara pulang bersama tujuh emas, 13 perak dan 16 gangsa.
Pencapaian itu difahamkan sukar untuk di atasi atau diulangi memandangkan sukan yang menjadi lubuk emas kontinjen negara iaitu boling dan silat tidak dipertandingkan di Hangzhou.
Malaysia dijangka mengumumkan sasaran pingat pada majlis penyerahan Jalur Gemilang oleh Hannah di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil pada Isnin.
“Kita tidak boleh melihat benda yang sama dalam setiap edisi Sukan Asia kerana setiap edisi berbeza berdasarkan tuan rumah.
“Kali ini sukan-sukan yang mencapai pingat emas di Jakarta tidak dipertandingkan di China, jadi fokus kami sekarang adalah pungutan pingat keseluruhan dan bukan lagi emas,” ujar Nazifuddin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!