Potongan harga 25 peratus
SHAH ALAM - Jualan Gudang Karangkraf 2023 yang akan berakhir pada Ahad menawarkan potongan harga buku sehingga 25 peratus bagi penghabisan stok.
Penolong Pengurus Besar Jualan Grup Buku Karangkraf, Roziyana Omar berkata, promosi itu termasuk buku latihan siri Fuiyoo keluaran baharu dari tahun enam hingga tingkatan lima.
“Dua hari terakhir kami akan buat penghabisan stok buku lebih kepada pelajar sekolah kerana kebetulan diadakan juga Karnival Pendidikan Sinar Bestari.
“Kita tawarkan diskaun 20 hingga 25 peratus dan selain buku pendidikan, terdapat novel, komik serta al-Quran.
“Bagi individu yang menjadi ahli ada lebih sedikit keistimewaan iaitu potongan harga buku baharu antara 15-20 peratus,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata, pengunjung yang tidak mempunyai kad ahli tidak perlu berasa bimbang kerana masih mendapat potongan harga yang menarik.
“Tetapi mereka berpeluang lagi untuk mendaftar menjadi ahli, hanya RM10 seumur hidup,” katanya.
Beliau berkata, dalam tempoh dua hari ini, sambutan orang ramai pastinya lebih luar biasa kerana bukan hanya jualan gudang diadakan tetapi Karnival Pendidikan Sinar Bestari turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik berkaitan pembelajaran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!