Kesan rumah hijau beri impak populasi beruang kutub
WASHINGTON - Saintis percaya populasi beruang kutub semakin kritikal dan lebih banyak haiwan itu mengalami kebuluran dalam tempoh beberapa tahun akan datang kerana pelepasan gas rumah hijau mempercepatkan pencairan ais laut Artik.
Hubung kait antara ais laut Artik yang mencair dan populasi beruang kutub yang semakin berkurangan telah diketahui selama beberapa dekad.
Tetapi kajian diterbitkan baru-baru ini dalam jurnal Science adalah yang pertama untuk mengukur secara langsung pautan itu.
Cecilia Bitz, profesor sains atmosfera dari Universiti Washington dan juga penulis utama kajian baharu itu berkata, pemahaman lebih khusus tentang bagaimana pelepasan gas rumah hijau membawa kepada kematian beruang kutub adalah langkah penting dalam melindungi spesies terancam.
"Semakin banyak kita melepaskan gas rumah hijau, semakin menderita populasi beruang kutub.
"Hakikatnya, beratus-ratus loji kuasa di seluruh AS (Amerika Syarikat) secara kolektif akan mengeluarkan lebih daripada 60 gigaton gas rumah hijau sepanjang hayat mereka," kata Bitz.
Katanya lagi, gas-gas yang dilepaskan akan memenuhi atmosfera, memanaskan alam sekitar dan mencairkan ais laut Artik.
Sebelum ini, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menganggarkan bahawa ais mencair hampir 13 peratus setiap dekad.
"Pengurangan habitat sedemikian akan membawa kepada penurunan empat peratus dalam kemandirian anak beruang kutub di selatan Laut Beaufort yang terletak di utara Alaska dan wilayah Yukon dan barat laut Kanada," kata Bitz.
Untuk kajian itu, Bitz berkata beliau meneliti berapa kerap beruang membunuh dan memakan anjing laut dan berapa lama setiap hidangan bertahan sebelum mereka perlu makan semula.
Bitz kemudian membandingkannya dengan kadar pencairan ais Artik dan pelepasan gas rumah hijau untuk menentukan berapa hari tambahan setahun beruang itu mungkin akan kelaparan apabila pelepasan meningkat.
"Walaupun penurunan empat peratus mungkin tidak kelihatan seperti banyak, tetapi ia secara jelas menunjukkan hubungan langsung antara pelepasan gas rumah hijau dan kelangsungan hidup beruang kutub.
"Dan itu penting apabila mempertimbangkan projek yang akan membawa kepada pelepasan lebih tinggi termasuk telaga minyak dan gas baharu," katanya.Sementara itu, Steven Amstrup, ahli zoologi dari Polar Bears International berkata, beruang kutub sangat bergantung kepada persekitaran ais laut untuk memburu anjing laut, mengembara, mengawan dan banyak lagi.
Ujarnya, apabila ais laut mencair pada musim panas, haiwan karnivor itu berpindah ke darat atau tempat ais yang tidak produktif jauh dari pantai, di mana ia menahan lapar yang panjang.
Tambahnya, tempoh-tempoh itu semakin panjang dengan peningkatan suhu global.
"Penurunan jumlah anak beruang dalam generasi seterusnya boleh berlaku jika jumlah pelepasan gas rumah hijau dikurangkan dalam angka yang signifikan,” kata Amstrup.
Satu kertas kerja penting yang diterbitkan dalam jurnal Nature pada tahun 2020 adalah yang pertama mengira pautan antara perubahan dalam ais laut yang disebabkan oleh iklim dan demografi beruang kutub. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!