Sistem JPJeBid sentiasa ditambah baik - JPJ
KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sentiasa menambah baik sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) dari semasa ke semasa bagi memastikan ia mesra pegguna.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya sentiasa mengadakan sesi perbincangan bersama agensi berkaitan dalam usaha menambah baik sistem terbabit.
"Kita mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang memberi maklum balas dan teguran terhadap sistem JPJeBid ini dan hasil perbincangan ini, kita akan cadangkan kepada Kementerian Pengangkutan untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita selepas meninjau Op Sepadu JPJ di Plaza Tol Batu di sini, malam tadi.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai kekecewaan seorang selebriti lelaki terhadap sistem JPJeBid dan tindakan 'scalper' atau pembeli hantu dalam proses membida nombor kenderaan yang disifatkannya menyusahkan orang lain.
Aedy Fadly turut mengakui sistem tersebut akan mengalami gangguan apabila aliran kemasukan pengguna dalam talian tinggi terutamanya melibatkan nombor yang dibida adalah istimewa.
"Contohnya nombor pendaftaran FF dan M_M ini, aliran trafik terlalu luar biasa pada 30 minit terakhir sebelum bidaan itu ditutup...tetapi bagi siri nombor pendaftaran dalam bidaan JPJ, ini tidak berlaku," katanya.
JPJ sebelum ini menawarkan bidaan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) prefiks M (hadapan) dan sufiks M (belakang) iaitu siri M_M sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66.
Terdahulu, Aedly Fadly meninjau operasi sepadu yang dilaksanakan bermula 8 malam hingga 12 tengah malam tadi dengan 4,640 kenderaan diperiksa.
Aedly Fadly berkata, sebanyak 746 saman dikeluarkan dengan kesalahan tertinggi melibatkan tidak memiliki lesen memandu.
"Kita turut menahan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang memandu tanpa lesen bersama adik kembarnya dan mereka memberikan alasan mahu menghantar telefon bimbit ibunya yang bekerja di Kepong, Kuala Lumpur.
"Kita memanggil ibu bapa pasangan kembar itu untuk tindakan lanjut dan kenderaan milik ibunya itu disita,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!