Harimau Malaya mampu saingi China
SKUAD bola sepak negara disifatkan cukup bersedia sepenuhnya bagi perlawanan persahabatan kedua berdepan China di Stadium Phoenix Hill, Chengdu, China, pada Sabtu
Malah, tonggak pertahanan Harimau Malaya, Dion Cools berkata, para pemain negara telah pun menjalani latihan di padang stadium tersebut.
"Ini merupakan persiapan singkat selepas perlawanan berintensiti tinggi menentang Syria. Kami telah menjalani pemulihan yang baik.
"Ya, kami juga telah menjalani latihan di padang Stadium Phoenix Hill dan merasai keadaan padang ini.
"Jadi kami berkeyakinan menampilkan persembahan meyakinkan berdepan China, pasukan ranking ke-80 dunia," katanya semasa sidang media pra perlawanan Malaysia menentang China pada Jumaat.
Dalam pada itu, pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon percaya para pemainnya mampu memberi tentangan sengit kepada The Dragons Team selepas menampilkan persembahan meyakinkan berdepan Syria pada Rabu lalu.
Malah, pengendali dari Korea Selatan itu percaya momentum ketika berdepan Syria akan menjadi dos penggalak berdepan antara kuasa bola sepak Asia tersebut.
Selain itu tegas Pan-gon, pengalaman berdepan China ketika mengendalikan Hong Kong sebelum ini juga memberi pelbagai input kepadanya dalam mengatur strategi
"Kami pernah menentang China ketika mengendalikan Hong Kong sebelum ini. Dan menghormati sepenuhnya tahap China.
"Pasukan belajar dan merancang pendekatan dengan baik juga banyak mengkaji tentang pasukan China.
"Saya harap dapat pasukan dapat menampilkan persembahan terbaik selepas mengetahui taktikal pasukan China," katanya.
Sebelum ini, Harimau Malaya yang berstatus ke-136 dunia, bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat Syria yang berada di ranking ke-94 dunia, 2-2 di Stadium East-Town Football Park, Chengdu.
Sebagai rekod, perlawanan menentang China merupakan perlawanan persahabatan terakhir skuad negara sebelum dijadualkan menyingkap cabaran Pestabola Merdeka 2023 pada Oktober depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!