PRK: Sanggup pulang dari Singapura demi mengundi
JOHOR BAHRU - Biarpun tinggal di Singapura, namun ia tidak menghalang seorang wanita menunaikan tanggungjawab untuk mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, pada Sabtu.
Tan Hui Huan, 45 tidak mahu terlepas memilih sendiri wakil rakyat di pusat pembuangan undi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Bukit Indah.
Lebih istimewa Hui Huan yang bekerja sebagai pegawai kewangan hadir bersama ibunya Na Ah May, 70 yang berkerusi roda kerana memakai kaki palsu.
"Saya pulang bersama suami menaiki motosikal melalui Tambak Johor untuk pulang ke Johor Bahru, petang Jumaat demi mengundi pada PRK Parlimen Pulai.
"Sudah 20 tahun saya dan suami tinggal dan mencari rezeki di Singapura. Setiap kali pilihan raya kami tidak terlepas untuk pulang kerana ia tanggungjawab kepada negara," katanya yang ditemui selepas selesai mengundi pada Sabtu.
Hui Huan menambah ibunya Ah May juga tidak pernah terlepas daripada melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi dan bangun seawal pagi untuk membuang undi.
"Hari ini, pada jam 9 pagi, saya sudah bawa ibu ke pusat pembuangan undi. Dia gembira kerana dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!