Tekong, awak-awak Indonesia ditahan ceroboh perairan negara

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

ALOR GAJAH - Seorang tekong dan awak-awak warga lndonesia ditahan kerana disyaki cuba memasuki perairan negara melalui jalan tidak sah di perairan Pantai Pengkalan Balak, Masjid Tanah, di sini malam tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, bot dinaiki dua lelaki masing-masing berumur 46 dan 22 tahun itu, berjaya dipintas di kedudukan lebih kurang 0.2 batu nautika barat daya pada 11.20 malam tadi.

"Hasil maklumat risikan, terdapat kontak curiga dari laluan Skim Pemisah Trafik (TSS) sedang bergerak masuk menuju ke perairan Kuala Sungai Baru.

"Bertindak atas maklumat tersebut, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang membuat rondaan operasi telah diatur gerak ke lokasi dengan bantuan pengesanan dari Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Lumut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Iskandar berkata, pemeriksaan ke atas bot gentian kaca warna kelabu menggunakan satu enjin mercury 60 kuasa kuda itu mendapati tekong dan awak-awak gagal mempamerkan dokumen perjalanan yang sah.

Beliau berkata, kesemua mereka juga telah didapati memasuki Malaysia melalui pintu yang tidak diwartakan.

"Bot dan suspek ditahan seterusnya dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan untuk disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!