'Beri perhatian sektor pelancongan Muslim' - Mohammad Kazim

Mohammad Kazim (kanan) ketika menyampaikan kuliah di hadapan lebih 700 orang yang hadir melawat Pusat Pendidikan Al-Barakah pada Sabtu.
Mohammad Kazim (kanan) ketika menyampaikan kuliah di hadapan lebih 700 orang yang hadir melawat Pusat Pendidikan Al-Barakah pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak disaran memberi perhatian terhadap sektor pelancongan Muslim yang mempunyai potensi besar merancakkan kehadiran pelancong ke negeri ini menjelang Tahun Melawat Perak 2024.

Pendakwah terkemuka, Datuk Mohammad Kazim Elias berkata, pelancongan Muslim semakin mendapat perhatian ramai malah di Pusat Pendidikan Al-Barakah hampir 2,000 pengunjung dari seluruh negara hadir setiap minggu untuk turut serta dalam aktiviti yang dianjurkan.

Menurutnya, kehadiran pelancong ini harus diambil perhatian kerana secara langsung membantu merancakkan ekonomi setempat dan negeri jika institusi pendidikan seperti Al-Barakah diberikan pengiktirafan.

"Setiap tahun kita anggarkan kira-kira 100,000 orang berkunjung ke Pusat Pendidikan Al-Barakah ini, bukan sahaja dari seluruh negara malah ada juga dari Singapura, Thailand dan sebagainya.

"Jadikan pembangunan insan sebagai model pelancongan. Ia mampu menjana pendapatan setempat apabila pelancong sewa homestay, sewa hotel dan sebagainya. Bila kerajaan negeri menjadikan ini sebagai prospek pelancongan, ia akan buka mata kepada industri untuk bekerjasama," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Pendidikan Al-Barakah di Gugusan Manjoi dekat sini pada Sabtu.

Sebahagian pengunjung yang hadir ke Pusat Pendidikan Al-Barakah di sini mendengar kuliah disampaikan Mohammad Kazim.
Sebahagian pengunjung yang hadir ke Pusat Pendidikan Al-Barakah di sini mendengar kuliah disampaikan Mohammad Kazim.

Mohammad Kazim berkata, sebelum ini Gugusan Manjoi pernah dicadangkan untuk menjadi hab pelancongan Muslim di Bandaraya Ipoh disebabkan Pusat Pendidikan Al-Barakah menjadi tumpuan orang ramai.

Jelasnya, banyak manfaat diperoleh negeri ini jika institusi pendidikan seperti Al-Barakah diangkat sebagai salah satu lokasi pelancongan utama dan dimasukkan di dalam kalendar pelancongan negeri.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga pengasas Pusat Pendidikan Al-Barakah berkata, pelancongan Muslim itu bukan sahaja menarik perhatian orang Islam tetapi turut memberikan pengalaman baharu kepada bukan Islam.

"Pernah kita terima pelancong bukan Islam dari Cameron Highlands bawa sayur bagi kepada saya. Apa salahnya kita jadikan pusat pendidikan ini sebagai pusat integrasi kaum. Apabila sebut pelancongan, semua kaum akan datang.

"Kita harap kerajaan negeri dapat memandang serius mengenai perkara ini bagi memastikan sektor pelancongan di Perak terus berkembang selain tarikan tempat-tempat menarik sedia ada," katanya.

Dalam pada itu, beliau yakin usaha dilakukan pihaknya akan turut menarik minat institusi pendidikan Islam lain melaksanakan transformasi menarik pelancong ke premis mereka jika kerajaan negeri memberi pengiktirafan kepada sektor pelancongan Muslim.

Beliau juga terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak demi kebaikan masyarakat dan negeri terutama dalam sektor pelancongan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!