ND Lala tampil bersuara, minta jangan labelkan Siti Munirah 'penyondol'
SHAH ALAM - Datuk Amir Amzah Salleh, 62, tampil bersuara menjawab kontroversi mengenai kemelut rumah tangga yang dihadapi seperti dilaporkan media sebelum ini.
Penyanyi popular era 1980-an yang dikenali sebagai ND Lala itu mengakui mengahwini Siti Munirah Abd Ghani, 33 dan menepis dakwaan wanita itu sebagai penyondol.
Beliau turut mengakui menceraikan bekas isterinya, Fauziah Sarman, 55, pada 2 Ogos lalu di Masjid Ar Rahman, Bangsar, Kuala Lumpur dan mendakwa bekas isterinya itu tidak bersetuju untuk berpoligami.
“Selepas 34 tahun kami bernikah dan memiliki empat orang cahaya mata, ia bukan satu keputusan yang mudah untuk dibuat. Fauziah telah meminta, mendesak dan mengugut agar saya menceraikannya.
“Memang benar saya telah menunaikan permintaan bekas isteri saya dan lafazkan cerai terhadapnya.
“Pada 7 Ogos, kami memfailkannya di mahkamah dan beri audio lafaz cerai kepada bekas isteri pada 8 Ogos melalui WhatsApp. Mahkamah sahkan perceraian pada Selasa,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Instagram pada Jumaat.
Pada 9 Ogos lalu, Fauziah membuat satu hantaran menerusi laman Instagram memaklumkan mengenai lafaz cerai yang diterima daripada bekas suami melalui aplikasi WhatsApp dan telah hadir di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Seksyen 9, Selangor.
ARTIKEL BERKAITAN: ND Lala, isteri sah bercerai selepas 34 tahun
ND lala dan Fauziah mendirikan rumah tangga pada 1989 dan hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan empat anak iaitu Shila, 33; Amir Syafiq, 30; Amir Syahir; 28 dan Nur Syuhada, 25.
Tambah ND Lala, tiada keperluan lagi kisahnya dengan bekas isteri diperkatakan selepas perceraian itu disahkan mahkamah.
Bagaimanapun, ND Lala tidak mahu mengulas lanjut mengenai kemelut yang terjadi sehingga membawa kepada perceraian kerana itu adalah perkara peribadi.
“Sekiranya berlaku pergaduhan antara suami isteri dan ia tidak dapat diselesaikan, platform yang betul untuk membuat aduan atau dirujuk adalah pejabat agama.
“Tiada keperluan untuk mengadu di media sosial atau orang ramai kecuali untuk meraih simpati dan publisiti.
“Saya reda dan percaya perancangan ALLAH jauh lebih baik dan pasti ada kebaikan buat kami berdua pada masa akan datang,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!