'Keadilan buat Iman, jika kemalangan punca pemandu warga Singapura lumba haram' - Guru
PORT DICKSON - "Bila tengok video itu geram sangat, kerana anak yang tak berdosa pula yang jadi mangsa".
Demikian luah Kamisah Abu Bakar, 44, yang merupakan guru tadika kepada Allahyarham Muhammad Shaheizy Iman Muhammad Shazrein, 4, yang meninggal dunia selepas motosikal dibonceng bersama bapanya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta Mercedes di Kilometer 16 Jalan SUA Betong -Air Kuning di sini pada Khamis.
Menurutnya, jika benar insiden berlaku disebabkan pemandu warga Singapura terbabit berlumba seperti mana yang tular, perlu ada tindakan tegas diambil demi memberi keadilan kepada keluarga mangsa.
"Betullah kejadian itu sudah berlaku dan nyawa yang hilang tidak boleh diganti lagi, cumanya bagi saya perlu ada keadilan kepada keluarga mangsa.
"Kalau kita tengok pada video yang tular itu pun, memang kereta itu dibawa laju. Tapi saya tak nak ulas lanjut bagaimana kemalangan itu berlaku, biarlah polis yang jalankan siasatan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Desa PD di sini pada Sabtu.
Bercerita berkenaan anak muridnya itu, Kamisah berkata, dia seorang kanak-kanak yang baik dan agak pendiam malah merupakan murid paling awal yang selalu datang ke tadika.
Katanya, sebelum kejadian itu, dia sempat memakaikan beg sekolah kepada Allahyarham ketika ayahnya datang untuk mengambilnya pulang dari sekolah.
"Hari itu pun seingat saya, Iman (Allahyarham) hanya biasa-biasa saja dan tidak menunjukkan sebarang tanda pelik melainkan dia tidak melambaikan tangannya seperti biasa kepada rakan-rakan ketika mahu pulang.
"Tapi waktu itu saya anggap ia biasa saja sehinggalah apabila diberitahu ibunya yang Iman dah tiada kerana kemalangan," katanya.
Tambah Kamisah, hatinya pada waktu itu bercampur baur tetapi terus bergegas ke Hospital Port Dickson (HPD) untuk melihat keadaan anak kecil itu.
Ujarnya, sebaik sampai, ibu Allahyarham didapati memeluk erat pakaian sekolahnya sambil menangis teresak-esak.
"Keadaan itu betul-betul pilu dan saya sampai sekarang pun akan menangis kalau tengok gambar Iman. Saya terasa kehilangannya.
"Lagi pun Rabu lepas saya baharu bergambar dengannya selepas dia memenangi pakaian menarik sempena sambutan hari Kebangsaan di sekolah kami dan nampaknya itu gambar kami yang terakhir," katanya.
Jelasnya, jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Melaka iaitu di kampung moyangnya.
Sebelum ini media melaporkan, kemalangan pada jam 1.30 tengah hari itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang selepas diambil bapanya dari Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Al Hasan, Taman Desa PD.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku ketika kedua-dua kenderaan itu bergerak dari arah Air Kuning menghala ke Sua Betong.
“Sebaik tiba di lokasi, kereta Mercedes berkenaan sedang memotong kenderaan di hadapannya lalu melanggar bahagian tepi kanan motosikal dinaiki mangsa yang sedang membelok ke simpang kanan menghala ke Ladang Sua Betong.
"Akibat kemalangan itu bapa mangsa yang merupakan juruteknik ladang Sua Betong mengalami kecederaan patah bahu kanan dan kaki kanan manakala anaknya meninggal dunia ketika menerima rawatan di HPD," katanya.
Beliau berkata, pemandu kereta Mercedes berusia 33 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan saringan awal ujian air kencing terhadap pemandu itu adalah negatif serta ujian pernafasan menunjukkan tiada kandungan alkohol dalam darah.
Tambahnya, lelaki itu telah direman selama tiga hari bermula pada Jumaat dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!