Lawatan kerja KKD di Korea Selatan berakhir dengan hasil positif
SEOUL - Lawatan rasmi pertama Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil ke Korea Selatan berakhir dengan optimistik, apabila lebih banyak komitmen pelaburan diperoleh daripada syarikat digital dan telekomunikasi negara itu serta beberapa perjanjian kerjasama strategik dimeterai antara kedua-dua negara.
Fahmi berkata, akan ada tindakan susulan ke arah memperkukuh kerjasama masa depan antara agensi Malaysia dan Korea Selatan.
"Hasil yang diperoleh daripada mesyuarat semasa lawatan ini termasuk meneroka aspek penggunaan 5G oleh industri antara kedua-dua negara.
"Ini juga melibatkan perkara seperti komitmen untuk membuka ibu pejabat NX3 Games di Kuala Lumpur tahun depan serta beberapa peluang yang boleh kita capai, sama ada pelaburan atau kerjasama pada masa hadapan dengan entiti di Korea Selatan,” katanya kepada Bernama.
Menteri, selaku ketua delegasi Malaysia yang meliputi syarikat telekomunikasi serta agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), berada di Korea Selatan dari 5 hingga 9 September bagi persidangan GSMA Mobile 360 APAC.
Beliau turut menyampaikan ucaptama di Forum Pemimpin Dasar 2023.
Antara agensi yang menyertai lawatan itu ialah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC); Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), manakala syarikat telekomunikasi termasuk CelcomDigi Bhd, Maxis Bhd dan Telekom Malaysia Bhd (TM).
Pembangun permainan video Korea Selatan, NX3 Games telah menyatakan hasrat untuk mengembangkan operasinya di Malaysia dengan membuka ibu pejabat serantau di Kuala Lumpur, yang dijangka siap tahun depan.
Syarikat itu akan memberi tumpuan kepada tiga unit utama untuk pejabatnya di Malaysia -- penerbitan permainan, penyelidikan dan pembangunan serta reka bentuk kandungan.
Sebuah lagi syarikat utama permainan video Korea Selatan, Smilegate, juga berhasrat memperluas perniagaannya ke Malaysia dan telah bekerjasama secara aktif dengan MDEC.
Semasa lawatan itu, TM dan syarikat telekomunikasi tanpa wayar Korea Selatan, SK Telecom, menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk bersama-sama membangunkan perniagaan Multi-Access Edge Computing (MEC) di Malaysia, mengorak laluan untuk perniagaan itu dipelopori di Malaysia.
Selain itu, CelcomDigi juga menandatangani MoU dengan syarikat teknologi VIRNECT untuk pembangunan dan pengkomersialan penyelesaian realiti lanjutan industri (XR) di Malaysia apabila mereka menyasar untuk meneroka pembangunan pembelajaran dan pendidikan pengalaman menggunakan metaverse.
Fahmi turut melawat ibu pejabat syarikat utama teknologi Korea Selatan, Samsung Electronics; ibu pejabat baharu Naver Corporation bernama 1784 dan syarikat hiburan P Nation, yang dimiliki oleh penyanyi Korea Selatan, Psy.
Beliau juga meluangkan masa untuk bertemu dengan pelajar dan diaspora Malaysia.
Fahmi mengakhiri lawatan rasminya dengan jemputan daripada GSMA untuk menyampaikan ucaptama pada Kongres Dunia Mudah Alih Barcelona 2024 yang akan diadakan pada Februari tahun depan.
Ekonomi digital menjadi antara tonggak ekonomi utama Malaysia, menyumbang 23.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021 dan sumbangan ini dijangkakan mencecah 25.5 peratus atau lebih RM382 bilion pada 2025. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!