RMK12: Enam negeri diberi tumpuan tingkat infrastruktur, pendapatan
KUALA LUMPUR - Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan program meningkatkan pendapatan dan memberi keselesaan kepada rakyat, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Ekonomi, Datuk Dr Zunika Mohamed.
Beliau berkata, walau bagaimanapun penekanan akan diberikan kepada enam negeri yang kurang membangun iaitu Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.
Negeri-negeri itu diberikan tumpuan untuk memastikan penambahbaikan kemudahan dari segi infrastruktur seperti jalan raya, ketersambungan lebih baik termasuk bekalan air, elektrik serta kemudahan lain seperti kesihatan, perumahan dan sebagainya, katanya.
"Bagi negeri yang tidak tergolong dalam kelompok ini sebenarnya bukan bermaksud kerajaan tidak berikan tumpuan.
"Mungkin bukan (tertumpu) dari segi infrastruktur yang besar tapi lebih fokus kepada program meningkatkan pendapatan, memberi keselesaan kepada penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menjadi tetamu untuk program Ruang Bicara yang mengupas bertajuk 'Ekonomi Malaysia: Menyelami Harapan Rakyat' terbitan Bernama TV pada Jumaat.
Antara inisiatif dilaksanakan Kementerian Ekonomi yang dipimpin oleh Menterinya, Rafizi Ramli adalah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bagi model Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Inisiatif Usahawan Tani (INTAN).
IPR yang merangkumi tiga model iaitu INSAN, INTAN dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN), dilancarkan pada 26 Februari 2023 dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan rakyat sejajar dengan kenaikan kos sara hidup.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah, Datuk Ts Dr Ramzah Dambul berkata, kerajaan wajar memberi penekanan kepada Sabah dalam RMK12 memandangkan ‘Negeri di bawah Bayu’ itu agak ketinggalan dari segi pendidikan serta kemudahan asas lain.
Beliau berkata, Sabah dan Sarawak agak berbeza berbanding empat negeri lain yang berada di Semenanjung Malaysia kerana jauh dari pusat pertumbuhan ekonomi.
"Walaupun negeri itu mungkin dikatakan terkebelakang seperti yang disebut oleh Bank Dunia sebagai ‘lagging state’ (negeri yang ketinggalan dari segi pertumbuhan dan pendapatan) tapi sekurang-kurangnya Perlis dan Kedah boleh mendapat akses kepada pertumbuhan di Pulau Pinang. Kelantan dan Terengganu yang tidak jauh dari Lembah Klang.
"Tapi Sabah dan Sarawak tidak ada yang dekat (lokasi pertumbuhan ekonomi) terpaksa menyeberang Laut China Selatan,” katanya.
Beliau berkata walaupun Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah adalah negeri yang ketinggalan, namun Sabah dan Sarawak bukan sahaja tidak mempunyai pemboleh daya ekonomi yang baik malah juga tidak mempunyai pilihan kebolehcapaian lain kerana jurang geografi selain wujudnya jurang ekonomi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!