Mangsa ribut terima bantuan

Reezal (tengah) bergambar bersama penerima bantuan bencana ribut di Dewan Permatang Bertam pada Sabtu. (Gambar kecil: Mariam Bee dan Mohd Zaini)
Reezal (tengah) bergambar bersama penerima bantuan bencana ribut di Dewan Permatang Bertam pada Sabtu. (Gambar kecil: Mariam Bee dan Mohd Zaini)
A
A
A

KEPALA BATAS - Pemilik 17 buah rumah yang terkesan dalam kejadian ribut di sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU) pada Isnin lalu boleh menarik nafas lega apabila pelbagai pihak tampil menghulurkan bantuan bagi menampung kos membaiki kerosakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kerja-kerja pembaikan kerosakan terutamanya pada bahagian bumbung rumah yang terkesan telah segera dilakukan dan pihaknya akan memastikan semua keluarga yang terlibat mendapat bantuan sewajarnya.

Menurutnya, daripada laporan yang diterima daripada Pejabat Tanah dan Daerah SPU mendapati lima buah rumah mengalami kerosakan teruk yang mana melibatkan kos pembaikan diantara RM5,000 hingga RM7,000.

"Alhamdulillah dengan tindakan segera daripada agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Zakat Pulau Pinang (ZPP),pihak masjid serta UMNO Bahagian Kepala Batas sedikit sebanyak meringankan beban yang ditanggung keluarga terlibat.

"Hari ini pula, kesemua keluarga terlibat menerima bantuan daripada Pusat Khidmat ADUN Bertam dan Tabung Bantuan Bencana Tuan Yang Terutama (TYT) untuk menampung kos pembaikan rumah mereka," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan sumbangan kepada mangsa bencana ribut di Dewan Permatang Bertam pada Sabtu.

Salah seorang penerima, Mariam Bee Mohd Noor, 58, yang tinggal di Pongsu Seribu dekat sini menzahirkan rasa syukur atas bantuan diberikan sekali gus dapat menyegerakan kerja-kerja pembaikan bumbung rumahnya yang rosak akibat ditimpa pokok tumbang.

Jelasnya, bencana ribut yang berlaku pada Isnin lalu merupakan kejadian kedua yang menimpanya, namun kali ini kerosakan yang dialami lebih serius berbanding insiden tiga tahun lalu.

"Saya tinggal seorang diri di rumah itu dan masih trauma dengan kejadian yang berlaku.

Artikel Berkaitan:

"Lepas kejadian pertama berlaku, memang bumbung rumah tu dah rosak dan bocor, namun kali ini habis ranap semuanya," ujarnya.

Seorang lagi mangsa,Mohd Zaini Musa, 43, yang tinggal di Kampung Permatang Bertam pula berkata, selepas bumbung rumahnya diterbangkan angin kuat menyebabkan perabut serta barangan elektrik rumahnya turut rosak disebebkan hujan.

Jelasnya, ketika kejadian dia berada di dalam rumah sebelum dikejutkan dengan bunyi angin kuat hingga menyebabkan struktur bumbung tercabut.

"Ini kejadian pertama yang berlaku di sini...habis semua barang yang ada dalam rumah rosak disebabkan hujan.

"Bagaimanapun saya bersyukur kerana banyak pihak tampil membantu terutama dalam kos membaiki bumbung rumah yang rosak," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!