Komplot rasuah sekolah memandu, JPJ
SHAH ALAM - Sindiket lesen terbang kembali bermaharajalela di negara ini apabila menawarkan pakej lesen gerenti lulus pada kadar bayaran antara RM500 hingga RM1,200 bagi seorang calon.
Menurut sumber Sinar Siasat, modus operandi kumpulan sindiket itu sangat mudah apabila sekolah memandu terutamanya yang beroperasi secara haram menawarkan 'duit kopi' kepada pegawai dan pemeriksa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang berkomplot.
Kata sumber itu, sekolah memandu haram yang tidak berdaftar dengan JPJ akan mencari mangsa manakala pemeriksa JPJ akan meluluskan ujian memandu walaupun calon melakukan kesalahan sewaktu ujian.
Difahamkan, bagi mengelakkan kegiatan mereka dijejak pihak berkuasa, sindiket itu mensyaratkan calon mengikuti semua prosedur memohon lesen termasuk menghadiri kelas dan ujian memandu.
Bagi membongkar kegiatan sindiket itu, Sinar Siasat menjalankan penyamaran selama dua minggu. Lokasi pertama penyamaran ialah di sebuah sekolah memandu di Puchong, Selangor.
Sinar Siasat bertemu dengan seorang wanita dipercayai kerani sekolah memandu tersebut yang memperkenalkan diri sebagai Kak Ana. Wartawan bertanyakan terlebih dahulu harga lesen yang ditawarkan sekolah memandu tersebut sebelum merisik jika ada cara untuk senang lulus dalam ujian.
Tanpa berselindung, Kak Ana memberitahu, ada pakej lesen gerenti lulus dan pakej tersebut ditawarkan di kebanyakan pusat memandu seluruh negara.
“Lesen gerenti lulus ini awak kena bayar lebih sikit dan bayaran tersebut akan diberikan kepada pegawai JPJ di Hulu Langat. Bayaran RM500 bagi motor dan RM800 untuk kereta,” katanya.
Akui Kak Ana, prosedur untuk mengambil lesen pada masa ini sedikit rumit kerana menggunakan cap jari menyebabkan semua calon perlu menghadiri kursus dan ujian. Lokasi kedua penyamaran pula dilakukan di sebuah sekolah memandu di Shah Alam.
Staf sekolah memandu itu pada mulanya enggan mendedahkan pakej lesen gerenti lulus itu.
Namun, selepas wartawan yang menyamar memaklumkan sudah beberapa kali gagal ujian memandu, barulah staf itu mengaku menyediakan pakej gerenti lulus.
Bagaimanapun, bayaran sekolah memandu kedua ini lebih tinggi daripada sekolah memandu di Puchong.
“Harganya sekitar RM1,200 dan niat kami untuk menolong pelajar yang susah dapat lesen akibat kerap gagal ujian,” katanya.
Berdasarkan laman web JPJ terdapat lebih 235 buah institusi memandu yang berdaftar di negara ini.
ARTIKEL BERKAITAN: JPJ ' panas' lagi
Ejen sekolah memandu buat tawaran di laman sosial
Pegawai JPJ sendiri jadi dalang sindiket
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!