TMESA sasar perluas skop bantuan SAS pelajar B40
BESUT - Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Menengah Tengku Mahmud (TMESA) menyasarkan untuk memperluaskan lagi skop bantuan menerusi program 'Sponsor A Student' (SAS) khusus kepada golongan pelajar B40 sehingga ke seluruh negara.
Presiden TMESA, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, setakat ini program tersebut tertumpu di daerah Besut selain pernah sampai sehingga ke Hulu Terengganu ketika pandemik Covid-19.
"Kalau boleh kita bukan hanya mahu bantu di Besut sahaja memandangkan ketika pandemik sebelum ini kita pernah bantu sehingga ke Hulu Terengganu, namun disebabkan kekangan dana, kita kini tertumpu di daerah Besut.
"Mungkin suatu masa nanti kalau ada badan-badan tertentu yang ingin membantu kita untuk salurkan sumbangan sehingga ke seluruh Malaysia, kita yakin mampu laksanakan sebab kita dah ada model program ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian selepas menghadiri majlis penyampaian bantuan program SAS kali ke-16 di Dewan Jubli Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahmud (SMKTM) pada Sabtu.
Hadir sama, Pengetua SMKTM, Nathrah Awang Teh.
Seramai 70 pelajar dari 11 buah sekolah di daerah ini menerima bantuan kewangan yang disampaikan bagi menampung perbelanjaan bulanan persekolahan mereka.
Dalam pada itu, Muhammad Nasir berkata, sebanyak RM1.2 juta telah dibelanjakan sejak program itu dilaksanakan 16 tahun lalu.
"Kita pilih pelajar dari Tingkatan Dua, Tiga, Empat dan Lima yang berkelayakan untuk terima sumbangan wang tunai sebanyak RM1,500 setahun bagi membantu meringankan perbelanjaan bulanan persekolahan mereka.
"Kita harap walaupun sumbangan ini tidaklah sebesar mana ia dapat membantu mereka yang memerlukan. Kita juga berharap supaya ibu bapa dapat gunakan duit sumbangan ini sebaik mungkin khusus untuk tujuan pendidikan anak-anak sahaja," ujarnya.
Sementara itu, ibu kepada pelajar SMK Nasiruddin Shah, Siti Mariam Mat Hassan, 42, berkata, sumbangan itu membantu meringankan bebanan ibu bapa yang terpaksa berbelanja tinggi dalam tempoh ekonomi tidak menentu ini.
"Sumbangan ini amat membantu dari segi tambahan perbelanjaan untuk persekolahan anak-anak. Musim sekarang barang-barang semuanya mahal dan ibu bapa perlu rancang perbelanjaan dengan lebih bijak.
"Bagi saya, saya akan lebihkan yang utama iaitu untuk cukupkan apa yang perlu bagi pendidikan anak-anak di sekolah. Terima kasih kepada para penyumbang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!