Percubaan operasi koc wanita MRT laluan Kajang mula hujung bulan ini
KLANG - Percubaan operasi bagi koc wanita untuk perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Kajang akan dimulakan pada hujung bulan ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, jika inisiatif tersebut dapat dilaksanakan dengan baik, pihaknya akan memperluas usaha itu terhadap perkhidmatan tren di laluan lain.
Beliau berkata, pengenalan inisiatif tersebut berikutan peningkatan kes gangguan seksual di dalam mod pengangkutan tersebut.
"Kita akan sesuaikan dahulu (percubaan ini) supaya penumpang tahu ada koc khas untuk wanita di setiap platform stesen MRT dengan dimulakan bagi laluan Kajang. Pihak Prasarana (Prasarana Malaysia Berhad) juga telah membuat persiapan bagi tujuan itu.
"Isunya (memperkenalkan koc wanita itu) adalah apabila kita melihat berlaku peningkatan dari segi gangguan seksual dalam kereta api. Apabila tiba waktu puncak, mereka (wanita) terpaksa berhimpit dan kadangkala berlaku sentuhan fizikal," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Kebangsaan Wanita DAP di sini pada Sabtu.
Menurut Anthony, setiap koc itu mampu memuatkan lebih 100 wanita pada satu-satu masa.
Sebelum ini, media melaporkan Kementerian Pengangkutan akan memperkenalkan sebuah koc wanita bagi MRT laluan Kajang demi keselesaan dan keselamatan penumpang golongan itu.
Pada 28 April 2010, Keretapi Tanah Melayu Berhad memperkenalkan koc wanita yang menggunakan warna merah jambu untuk menarik perhatian penumpang wanita yang merangkumi 60 peratus pengguna.
Sementara itu, mengulas mengenai pesawat jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina di Shah Alam, dekat sini pada 17 Ogos lepas, Anthony berkata, laporan awal mengenai insiden tersebut akan dikeluarkan pada 15 September ini.
Nahas pesawat itu mengorbankan 10 individu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Seri Johari Harun. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!