Saran adakan sidang khas Parlimen bincang isu bekalan beras negara
ALOR SETAR - Kerajaan disaran mengadakan sidang khas Parlimen bagi membincangkan isu bekalan beras dalam negara dengan kadar segera.
Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman mencadangkan agar sidang tersebut diadakan pada minggu depan, iaitu ketika jadual sesi khas Parlimen yang akan membahaskan Kajian Separuh Penggal RMK12.
Menurutnya, sidang khas berkaitan keperluan bekalan beras dan perancangan masa depan ini perlu disegerakan bagi memastikan bekalan beras negara lebih terjamin.
“Isu ketidakstabilan bekalan beras di negara kita mutakhir ini dilihat membimbangkan. Isu ini merupakan keperluan utama kini dan perlu dibincang segera bagi mencari penyelesaian.
“Saya juga ingin menekankan keperluan untuk merangka perancangan jangka panjang dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) untuk atasi masalah bekalan beras khususnya dalam sasaran meningkatkan tahap sara diri (SSL) negara kepada 100 peratus,” katanya di sini pada Jumaat.
Bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) itu turut mencadangkan beberapa langkah intervensi yang boleh dilakukan bagi mengatasi isu bekalan beras dalam negara.
“Langkah pertama tingkatkan pengeluaran beras tempatan dengan memberi tumpuan kepada penyediaan teknologi moden, latihan dan bantuan kewangan lebih besar.
“Penentuan harga siling untuk beras import juga penting, kaji semula harga sedia ada, ini bagi memastikan beras tempatan bersaing dengan adil dengan beras import, selain dapat kekang penyalahgunaan harga oleh pihak tertentu,” katanya.
Ahmad Tarmizi berkata, pelan pemulihan jangka masa sederhana dan panjang perlu dirangka dengan lebih komprehensif dan teliti berlandaskan kepada analisis menyeluruh mengenai masalah bekalan beras negara.
“Langkah lain termasuk inisiatif kerajaan untuk galakkan perkongsian data yang lebih baik antara pemain industri beras dalam memantau dan meramal bekalan secara efisien.
“Kerjasama antara sektor awam dan swasta juga penting untuk mencapai matlamat ini,” jelasnya.
Menurutnya lagi, semua aspek berkenaan boleh dibincangkan secara mendalam dalam sidang khas Parlimen untuk merangka langkah-langkah besar yang perlu diambil dalam menangani isu kritikal ini.
“Ini adalah masa sesuai untuk menyatukan semua kepakaran dan sumber daya negara untuk menangani masalah bekalan beras, yang merupakan tulang belakang kestabilan dan keterjaminan makanan negara,” ujarnya.
Ahmad Tarmizi yang juga Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen Malaysia berkata, keberkesanan dan kestabilan bekalan beras adalah kunci kepada kedaulatan makanan negara dan kepentingan rakyat harus dipelihara dengan baik.
“Dalam RMK12 dinyatakan komitmen kepada usaha pemulihan sektor pertanian dan bekalan makanan. Namun, saya bimbang bekalan beras tempatan tidak akan pulih dalam sebulan seperti diumumkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
“Ini kerana sesi libat urus pengilang dan pemegang taruh industri beras hanya diadakan pada Khamis. Sedangkan mekanisme berkaitan usaha pemulihan perlu diselidiki secara menyeluruh untuk pastikan keberkesanannya,” katanya lagi.
Jelasnya, masalah tersebut bukannya isu yang boleh diselesaikan secara terburu-buru dan perlu diperhalusi sebaiknya kerana ia mempengaruhi masa depan bekalan beras negara.
“Larangan eksport beras oleh Thailand dan India turut menyebabkan ketidakstabilan bekalan beras global. Ini beri kesan terhadap kita, yang berdepan kenaikan harga beras secara drastik.
“Secara tidak langsung beri tekanan kepada rakyat yang sedang berdepan kenaikan kos sara hidup. Namun ia tidak dapat dielakkan susulan dipengaruhi konflik peperangan dunia dan perubahan iklim, seterusnya mengganggu pengeluaran dan mengakibatkan kenaikan harga beras,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!