SACC tawar hadiah menarik sepanjang Karnival Pendidikan Sinar Bestari
SHAH ALAM- Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC Convec Sdn Bhd) menawarkan baucar Ramadan 2024 sebanyak RM200 kepada pengunjung yang menang dalam cabutan bertuah sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari.
Pengurus Kanan Jualan dan Pemasarannya, Nur Hazirah Salleh berkata, tawaran terhad itu hanya berlangsung selama tiga hari bermula 8 September 2023 sehingga 10 September 2023.
Ujarnya,karnival tersebut menjadi platform kepada pengunjung untuk mengenali produk yang mereka tawarkan secara meluas.
Antara produk yang diperkenalkan termasuk SACC Convention Centre, Temu Jelatek Event Space, Restoran SACC Kelana Seafood dan juga Westside Coffee.
“Sambutan yang diterima sangat menggalakkan di ruang pameran kita dan mereka boleh sertai cabutan bertuah serta memenangi baucar Ramadan tahun 2024 untuk dua orang dengan harga lebih RM200.
“Setakat dua hari ini kami turut menerima tempahan terutama bagi majlis perkahwinan dan jamuan di Temu Jelatek Event Space dan Restoran SACC Kelana Seafood.
“Kita galakkan selepas membuat tempahan mereka boleh berkunjung ke tempat kami untuk melihat sendiri keadaan dewan atau ruangan yang mereka ingin gunakan nanti,”katanya kepada Sinar Harian di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini, pada Sabtu.
Karnival Pendidikan Sinar Bestari yang berlangsung selama tiga hari bermula 8 hingga 10 September ini bakal menampilkan pelbagai pertandingan dan aktiviti menarik kepada para pengunjung.
Bermula jam 9 pagi hingga 7 malam, ia terbuka kepada semua pengunjung secara percuma bagi merasai sendiri pengalaman pendidikan digital selaras dengan tema karnival iaitu Memacu Pendidikan Generasi Digital.
Mengulas lanjut, Nur Hazirah berkata, orang ramai yang hadir juga boleh menikmati beberapa manisan daripada jenama rangkaian mereka iaitu Westside Coffee dengan harga yang berpatutan.
Ulasnya, pengunjung boleh mendapatkan kek premium dengan harga RM5 sahaja dan boleh menikmati makanan berkualiti tinggi jika singgah ke reruai SACC Convec Sdn Bhd.
“Selain itu kita turut menjual beberapa pencuci mulut khas daripada Westside Coffee seperti kek keju durian yang sering menerima permintaan tinggi kerana rasanya yang enak.
“Pada hari pertama kami diserbu oleh pengunjung untuk mereka rasai beberapa kek dan juga waffle yang kita datangkan khas dari restoran Westside Coffee,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!