Sindiket hidup mewah hasil tipu pelaburan tumpas
KUALA LUMPUR - Menerima gaji sekitar RM5,000 sehingga RM10,000 antara pendapatan lumayan diterima ahli sindiket pelaburan tidak wujud yang dikesan bergiat aktif di sebuah premis pejabat di Jalan Pudu, Bukit Bintang di sini pada Jumaat.
Dalam operasi dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi itu, polis berjaya memberkas 29 individu dipercayai terlibat dalam kegiatan terbabit.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata,serbuan dijalankan kira-kira jam 3.40 petang itu menahan seramai 13 lelaki dan 10 wanita tempatan serta dua lelaki dan empat wanita warga asing.
Menurut beliau, siasatan dijalankan kesemua suspek dibayar lumayan mengikut peranan dan tugas yang diberikan.
"Kesemua suspek yang ditahan mempunyai peranan masing-masing dalam aktiviti ini yang mana 21 individu berperanan sebagai Pegawai Khidmat Pelanggan yang menawarkan pelaburan, komoditi, saham, indeks dan mata wang kripto tidak wujud melalui medium internet.
"Tiga individu berperanan sebagai pegawai teknologi maklumat, tiga individu menguruskan pengambilan pekerja serta pengurusan pejabat manakala dua individu berperanan mengawal dan menguruskan keseluruhan aktiviti ini," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Katanya, siasatan mendapati sindiket ini telah beroperasi selama hampir dua bulan.
"Kadar sewaan bagi premis pejabat yang digunakan untuk menjalankan kegiatan ini sebanyak RM17,400.
"Sindiket turut dipercayai menjalankan kegiatan ini dengan menyasarkan mangsa luar negara," katanya.
Menurutnya, semakan mendapati dua daripada suspek yang diberkas mempunyai rekod jenayah lampau.
"Turut dirampas adalah 56 unit telefon bimbit pelbagai jenama, 27 unit komputer riba, 32 unit monitor serta pelbagai peralatan elektronik lain.
"Kesemua suspek direman tiga hari bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 120(B)Kanun Keseksaan dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!