Tunggu menteri umum sasaran pingat Sukan Asia

Mohamad Norza (belakang, tengah) bersama Nazifuddin ketika sesi bergambar bersama barisan atlet negara selepas Majlis Penyerahan Watikah Pemilihan Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia Hangzhou 2022 di Kuala Lumpur minggu lalu.
Mohamad Norza (belakang, tengah) bersama Nazifuddin ketika sesi bergambar bersama barisan atlet negara selepas Majlis Penyerahan Watikah Pemilihan Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia Hangzhou 2022 di Kuala Lumpur minggu lalu.
A
A
A

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) menyerahkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh untuk memutuskan pendekatan yang bakal digunakan berhubung sasaran pingat pada Sukan Asia Hangzhou 2022.

Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Najib berkata, pihaknya sudah mengemukakan dua cadangan kepada Hannah yang dijadualkan mengumumkan sasaran pingat bagi kontinjen Malaysia pada Isnin ini.

Malah, beliau menegaskan, cadangan untuk tidak meletakkan sasaran pingat emas pada Sukan Asia 2022 tiada kaitan dengan kegagalan kontinjen Malaysia mencapai sasaran emas pada Sukan SEA 2023 di Kemboja, Mei lalu.

“Kita perlu asingkan prestasi Sukan Asia dan Sukan SEA sebab Sukan SEA adalah pendedahan dan kebanyakan mereka (barisan atlet muda negara) bersaing buat pertama kali.

“Tetapi Sukan Asia memang bukan lagi pada tahap pendedahan tetapi kita hendak melihat atlet yang bertanding berada dalam ranking yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Sebelum ini, prestasi kontinjen Malaysia pada Sukan SEA 2023 dipersoal ramai pihak terutamanya dalam kalangan peminat sukan tempatan gara-gara kegagalan mencapai sasaran 40 pingat emas.

Jumlah kutipan 34 pingat emas menyaksikan kontinjen Malaysia mencatat pencapaian terburuk sejak membawa pulang keseluruhan 31 emas pada edisi 1995 di Chiang Mai, Thailand.

Artikel Berkaitan:

Situasi itu mengundang pelbagai ramalan sehingga ada pemerhati dan pengkritik sukan berpandangan 'malapetaka' lebih buruk bakal menimpa kontinjen Malaysia di bumi Hangzhou nanti.

Mengulas lanjut, Nazifuddin berkata, MOM bersama-sama persatuan sukan kebangsaan yang terlibat telah mengadakan mesyuarat penetapan pingat baru-baru ini.

“Apa yang paling penting adalah pencapaian keseluruhan untuk semua atlet kerana kita mahu dilihat sebagai satu kontinjen yang boleh berikan pungutan pingat yang sesuai dengan saiz kontinjen.

“Kita pun tidak mahu melihat emas ini menjadi topik utama untuk kontinjen negara, tetapi yang penting semua sukan yang kita hantar ada prestasi baik pada Sukan Asia,” ujarnya.

Pada Sukan Asia 2023 yang dijadual berlangsung dari 23 September hingga 10 Oktober ini, Malaysia menghantar kontinjen seramai 294 atlet dan akan mengambil bahagian dalam 29 acara.

Malaysia akan menyertai akuatik (terjun dan renang), badminton, berbasikal (trek dan lebuh raya), bola keranjang 3x3 (lelaki dan wanita), dragonboat, ekuestrian, gimnastik (artistik dan berirama) dan hoki (lelaki dan wanita).

Kontinjen negara akan turut mengambil bahagian dalam acara jujitsu, karate, kabbadi, kriket (lelaki dan wanita), memanah, menembak, e-sukan, go, xiangqi, olahraga, pelayaran, ragbi, skuasy, taekwondo, tinju dan wushu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!