Polis belum terima laporan wartawan wanita dikasari - Ayob Khan

Ayob Khan pada sidang media selepas meninjau proses pengundian PRK bagi DUN Simpang Jeram di SJKC Pei Chai, Bakri di sini pada Sabtu.
Ayob Khan pada sidang media selepas meninjau proses pengundian PRK bagi DUN Simpang Jeram di SJKC Pei Chai, Bakri di sini pada Sabtu.
A
A
A

MUAR - Polis belum menerima sebarang laporan berhubung dakwaan berlaku insiden pengamal media dikasari pegawai pengiring seorang menteri ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Selasa lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sebaliknya pihaknya masih menunggu laporan serta penjelasan lanjut daripada kedua-dua pihak yang terlibat.

"Setakat ini tidak ada laporan polis dibuat. Bagi masa sedikit sebab (dakwaan) itu adalah versi yang dikeluarkan oleh pihak media, saya belum dapat apa-apa laporan.

"Biasalah, kadang-kadang dalam keghairahan pihak media dapatkan komen, mungkin berlaku tolak menolak," katanya pada sidang media selepas meninjau proses pengundian PRK bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Pei Chai, Bakri di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu beliau berkata, dakwaan berlakunya gangguan seksual dalam kejadian itu juga hanya dapat disahkan selepas pihaknya menerima laporan semua pihak terlibat.

“Setakat ini hanya kenyataan dikeluarkan oleh pihak media (jadi) kita tunggu lah kenyataan-kenyataan rasmi yang akan dikeluarkan oleh kementerian terlibat,” ujarnya.

Pada Jumaat, Pengerusi Kelab Media Johor, Mohamad Fauzi Ishak dilaporkan berkata, berlaku dua insiden melibatkan pengamal media dikasari beberapa pegawai pengiring seorang menteri dalam dua acara kempen parti politik berasingan di Taman Anggerik dan Taman Dahlia, Johor Bahru.

Beberapa pegawai pengiring didakwa telah menghalang kumpulan pengamal media ketika sidang media menteri berkenaan diadakan, antaranya menyentuh tangan seorang wartawan wanita yang sedang merakam sidang media tersebut.

Artikel Berkaitan:

Pegawai pengiring juga dikatakan bertindak mencubit belakang pinggang seorang lagi wartawan wanita beberapa kali bertujuan untuk menghalangnya melaksanakan tugas semasa sidang media.

Menurut Mohamad Fauzi lagi, seorang jurugambar juga ditolak oleh pegawai pengiring semasa sedang mengambil gambar sewaktu sidang media.

Sementara itu, Ayob Khan mengesahkan proses mengundi di sembilan pusat mengundi di Pulai dan Simpang Jeram lancar dan tiada insiden yang tidak diingini berlaku.

"Alhamdulillah, setakat ini kita dah lawat sembilan pusat undi dan mendapati semua proses undi berjalan lancar.

"Saya juga difahamkan, setakat jam 2 petang tadi, 45 peratus pengundi telah keluar untuk mengundi dan berbaki tiga jam lagi kita harap semua akan laksanakan tanggungjawab dalam proses demokrasi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!