Les’ Copaque buka mata anak muda kenali dunia animasi
SHAH ALAM - Les’ Copaque Production (Les’ Copaque) berkongsi pengalaman dan kerjaya khusus buat anak muda lepasan sekolah menengah yang ingin mengenali atau menceburi bidang animasi.
Ketua program animedia 3D, Muhammad Nur Adzrin Ahmad Mazrim berkata, pihaknya ingin membuka mata anak muda untuk kenal dengan lebih mendalam tentang animasi dan skop kerja seperti penulis skrip, artis konsep, penyunting video serta lain-lain.
Menurutnya, terdapat pelbagai persoalan diutarakan pelajar terutamanya dari Sekolah Menengah Datuk Hamzah dan Sekolah Menengah Taman Klang Utama yang hadir ke sesi perkongsian itu.
“Saya terima banyak sangat soalan daripada mereka (pelajar) yang ingin kenal dunia animasi dan bidang kerja bersesuaian.
“Oleh itu, saya merasa terpanggil untuk berkongsi sedikit mengenai peluang kerjaya dalam bidang ini supaya ia boleh membuka mata dan minda mereka,” katanya ketika ditemui selepas program perkongsian kerjaya bersama Akademi Animasi Les’ Copaque (Lcaa) di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Sabtu.
Muhammad Azrin menerangkan, golongan pelajar lepasan sekolah menengah yang ingin mengambil diploma Teknologi Animedia 3D boleh menyertai Akademi Animasi Les’ Copaque di Seksyen 13, Shah Alam.
Tambahnya, diharapkan rakyat negara ini dapat melahirkan lebih ramai pakar animasi muda yang mungkin memberi manfaat dan jasa terhadap industri animasi tempatan.
"Jika ingin mahir dalam sesuatu perkara, tidak kisah lah daripada bidang animasi, sukan atau akademik, bakat dan minat perlu diasah selalu serta praktikkannya.
“Jangan tinggalkan apa yang sudah diasah kerana ia akan berkarat,” ujarnya.
Sementara itu, Muhammad Adzrin menerangkan, pihaknya melihat sambutan orang ramai terhadap Karnival Pendidikan Sinar Bestari (KPSB) sangat meriah dari segi reruai, persembahan dan acara temu bual.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!