Warga emas labur RM250,000, mangsa penipuan skim pelaburan hartanah

Hishamuddin (tengah) bersama sebahagian mangsa penipuan dan pemerdayaan pelaburan melibatkan skim pelaburan kepentingan hartanah dan aset oleh sebuah syarikat yang beribu pejabat di Perlis dalam sebuah sidang media di Kuala Lumpur pada Sabtu. - Foto Bernama
Hishamuddin (tengah) bersama sebahagian mangsa penipuan dan pemerdayaan pelaburan melibatkan skim pelaburan kepentingan hartanah dan aset oleh sebuah syarikat yang beribu pejabat di Perlis dalam sebuah sidang media di Kuala Lumpur pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO) menerima kira-kira 80 aduan mengenai penipuan berkaitan skim pelaburan kepentingan hartanah yang melibatkan pembangunan hartanah dan aset pertanian di Sungai Besi sehingga kini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim tidak menolak kemungkinan jumlah sebenar mangsa skim yang didalangi oleh sebuah syarikat yang beribu pejabat di Perlis sejak beberapa tahun lepas itu kini telah mencecah 1,500 orang, dan membabitkan jumlah kerugian hampir RM60 juta.

Beliau berkata, syarikat itu menawarkan pulangan dividen yang lumayan kepada mangsa melalui modus operandi yang memerlukan mereka membayar RM3,600 bagi satu lot tanah untuk mendapatkan pulangan dividen RM540 setiap 45 hari.

"Bagaimanapun tawaran yang dibuat syarikat itu adalah tidak sah kerana tidak mematuhi undang-undang yang mengawal selia syarikat pelaburan di Malaysia seperti Akta Skim Kepentingan 2012, Akta Syarikat 2016 dan Capital Markets and Services Act 2007.

"Bahkan sebenarnya menurut siasatan persendirian oleh mangsa, projek-projek yang dijanjikan syarikat juga tidak wujud dan tidak pernah berjalan. Selama ini semua gambar projek yang ditunjukkan adalah gambar yang diambil daripada aplikasi Google semata-mata,” katanya dalam sidang media di sini pada Sabtu.

Seorang wanita yang ditemui selepas sidang media itu berkata, kedua-dua ibu bapanya turut menjadi mangsa penipuan skim pelaburan itu.

Menurut wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Nurul, 35, bapanya mula terjebak dengan pelaburan itu pada 2020 setelah didekati ejen syarikat berkenaan cawangan Muar, Johor, sehingga membuat pinjaman peribadi dengan bank.

"Awalnya ayah mula dengan lima lot tanah dengan sejumlah bayaran. Apabila dapat pulangan pada peringkat awal, ayah mula merasa yakin sebelum mengajak ibu untuk turut serta, dengan niat untuk membantu keluarga dan anak-anak.

Artikel Berkaitan:

"Keseluruhannya, ayah dan ibu laburkan sebanyak RM250,000 untuk skim ini termasuk menggunakan wang pinjaman bank. Namun, selepas tiga kali pembayaran dividen diterima berjumlah RM540 setiap satu, syarikat itu senyap dan tidak membuat sebarang pembayaran sehingga kini,” katanya.

Nurul berkata, beliau dan adik-beradiknya tidak merasa ragu dengan pelaburan disertai kedua-dua ibu bapanya pada peringkat awal kerana dimaklumkan mengenai syarikat itu yang sah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) selain mempunyai dokumen perjanjian. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!