Formula pemberian 40 peratus hasil Sabah dimuktamad Julai 2024

Ewon
Ewon
A
A
A
KOTA KINABALU - Kerajaan Persekutuan bersetuju memuktamadkan pelaksanaan formula 40 peratus pemberian hasil Sabah menjelang Julai tahun depan, kata Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick.

Ewon, yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, perkara itu dapat dicapai menerusi penyertaan pemimpin Sabah dalam Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Ini telah diputuskan dalam Jawatankuasa Teknikal MA63 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Fadillah Yusof). Saya juga adalah sebahagian daripada anggota dan keputusan mesyuarat menyatakan dalam tempoh satu tahun ini, kita perlu memuktamadkan mekanisme pelaksanaan 40 peratus itu.

"Satu jawatankuasa kerja telah ditubuhkan dan dipengerusikan oleh (Menteri Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali untuk merangka mekanismenya sebelum dibawa semula kepada majlis. Sebab itu ada garis masa. Kalau kita buat keputusan tiada garis masa, itu mencabar.



"Sebab itu bila berada dalam Kabinet, menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan garis masa ini dapat dipenuhi,” katanya kepada pemberita selepas Konvensyen Nasional UPKO di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, nilai pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan juga ditambah baik dan Kerajaan Persekutuan akan mengeluarkan warta baharu.

Ewon juga berkata, UPKO akan memfokus kepada usaha memperkasa kerjasama antara parti politik yang menyokong Kerajaan Perpaduan di Sabah.

Buat masa ini, beliau enggan mengulas lanjut strategi atau pendekatan UPKO bagi mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang termasuk dalam hal-hal berkaitan pembahagian kerusi.

"Pada masa ini, saya ingin mengelak spekulasi mengenai perkara-perkara sedemikian. Kita fokus kepada kerjasama untuk melaksanakan mandat rakyat. Bila tiba masa untuk bercakap tentang pilihan raya, segala kemungkinan akan terjawab,” katanya.

Terdahulu, Ewon dalam ucapan dasarnya berkata UPKO perlu memenangi lebih banyak kerusi pada PRN Sabah akan datang namun jumlah dan kemenangan calon parti itu banyak bergantung kepada keberkesanan pimpinan serta pendekatan jentera di kawasan ingin ditandingi.
Artikel Berkaitan:


Selaku Presiden UPKO, Ewon berkata adalah menjadi tugas beliau untuk menetapkan kawasan yang ingin ditandingi seterusnya memastikan kesiapsiagaan menjelang pilihan raya.

"Saya tidak mahu membuat keputusan hanya berasaskan keinginan semata-mata tanpa didukung dengan asas dan inti yang kuat kerana kita mahu menang, bukan kalah,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!