RoS laksana pemutihan pertubuhan tak aktif, tidak wujud

Mohd Nawardi
Mohd Nawardi
A
A
A

TUMPAT - Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) giat melaksanakan pemutihan terhadap pertubuhan dan persatuan yang dikesan tidak aktif serta tidak lagi wujud di seluruh negara.

Ketua Pengarah RoS, Mohd Nawardi Saad berkata, proses itu dilaksanakan sejak dua tahun lalu berikutan rekod pendaftaran mendapati banyak pertubuhan dan persatuan yang berstatus sedemikian serta gagal melaporkan perkembangan aktiviti kepada jabatan itu.

Menurutnya, langkah pemutihan merangkumi proses pemilihan semak semula antaranya menumpukan kepada pertubuhan atau persatuan yang tidak menghantar penyata tahunan dan juga laporan mesyuarat agung.

“Sejak dua tahun pemutihan dilakukan, RoS mendapati sejumlah besar pertubuhan tidak aktif bahkan ada yang sudah lebih tempoh 10 tahun selain ada yang sudah tidak wujud pun.

“Pihak jabatan bagaimanapun masih memberi ruang untuk mereka dan jika masih tak hantar laporan, proses pembatalan akan dibuat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kursus Bantuan Awal Kecemasan di Air anjuran Persatuan Penduduk Pasir Pekan Prihatian di Sungai Kelantan pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau berkata, selain itu tindakan pembatalan pertubuhan juga akan diambil bagi yang melanggari peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh RoS.

Tambahnya, bagi pertubuhan yang dibatalkan oleh RoS perlu didaftarkan semula jika pihak pertubuhan berhasrat atau berminat untuk meneruskan pertubuhan itu.

“Apabila sudah batal, kalau nak aktifkan semula, perlu membuat permohonan dan pendaftaran yang baharu.

Artikel Berkaitan:

“Kami sebenarnya tak terus batal, tetapi akan hantar notis terlebih dahulu dan jika tidak dapat maklum balas, kami hantar lagi notis kedua untuk tujuan pembelaan seeta akan menghubungi pertubuhan. Selepas itu, jika pertubuhan seolah-olah tidak lagi berminat, barulah kita batalkan,” katanya.

Jelasnya, setakat ini lebih 180,000 pertubuhan aktif direkodkan diseluruh negara merangkumi parti politik dan badan bukan kerajaan di seluruh negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!