28 pelajar cedera disengat tebuan tanah
HULU LANGAT - [DIKEMAS KINI] Seramai 28 pelajar sebuah sekolah menengah menempuh detik cemas apabila disengat tebuan dalam kejadian di Sungai Lepoh, Kampung Kuala di sini pada Sabtu.
Difahamkan kejadian berlaku kira-kira jam 1.45 petang ketika 133 pelajar dan guru sebuah sekolah menengah dari Shah Alam itu sedang menjalani Kem Kepimpinan Transformasi Pengawas di sekitar lokasi kejadian.
Pegawai Perhubungan Awam Angkatan Pertahanan Awam Selangor, Leftenan Muda Pertahanan Awam Suzaini Sulaiman berkata, kejadian dilaporkan kepada pihaknya kira-kira jam 1.54 petang.
"Sepasukan anggota APM dari Hulu Langat dikejarkan ke lokasi kejadian untuk memberikan bantuan awal kepada semua mangsa terlibat.
"Kesemua mangsa terlibat dibawa ke klinik kesihatan berhampiran dan Hospital Ampang untuk rawatan selanjutnya," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Katanya, difahamkan setakat ini keadaan kesemua mangsa dilaporkan stabil.
"Terdapat beberapa pelajar yang masih mendapatkan rawatan di Hospital Ampang dan ada yang telah dibenarkan pulang.
"Pemantauan akan dijalankan anggota APM dari semasa ke semasa melibatkan semua mangsa terlibat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!