Harimau Muda garang benam Filipina
[DIKEMAS KINI] SKUAD Bawah 23 tahun (B-23) negara meneruskan momentum positif apabila membenam Filipina, 4-0 dalam aksi kedua Kumpulan H Kelayakan Piala Asia B-23 2024 sebentar tadi.
Dalam aksi di Stadium Chonburi, Thailand itu, Harimau Muda bermula garang apabila memperoleh gol pembukaan ketika perlawanan baru berlangsung 27 saat.
Gol sulung itu terhasil menerusi jaringan kapten, Mukhairi Ajmal Mahadi yang berjaya menyudahkan hantaran lintang Fergus Tierney.
Skuad negara berjaya melebarkan kedudukan apabila T Saravanan meledak gol kedua pada minit keenam hasil gerakan menarik Luqman Hakim Shamsudin.
Kem Harimau Muda terus berpesta apabila giliran Harith Haiqal Adam Afkar merobek gawang Filipina menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti pada minit ke-23.
Sebaik babak kedua bersambung, Harimau Muda tidak mengendurkan asakan ke kubu pasukan lawan, sebaliknya terus garang dalam memburu tambahan jaringan.
Hasilnya, menerusi satu serangan balas, Saravanan berjaya menambah koleksi jaringan kedua peribadinya selepas menyudahkan hantaran Tierney pada minit ke-61.
Pada penghujung perlawanan, Tierney hampir meletakkan namanya selaku penjaring, namun bola rembatan kencangnya sekadar mengenai palang gol Filipina.
Harimau Muda bakal mengakhiri aksi peringkat kumpulan berdepan tuan rumah, Thailand di venue sama pada Selasa ini bagi menentukan juara Kumpulan H.
Pada Rabu lalu, Harimau Muda membuka langkah kanan apabila melakar kemenangan 2-0 ke atas Bangladesh dalam aksi pembukaan Kumpulan H.
Berdasarkan format pertandingan, 11 juara kumpulan dalam saingan kelayakan bersama-sama empat naib juara terbaik kumpulan dan tuan rumah, Qatar akan layak beraksi di pusingan akhir tahun depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!