Agong, Raja Permaisuri dirai meriah di Miri umpama kisah Melayu klasik

Al-Sultan Abdullah dan Tengku Hassanal berkenan bergambar bersama orang ramai ketika berangkat tiba pada Minum Petang Bersama Komuniti sempena Kembara Kenali Borneo di Kampung Pangkalan Lutong pada Sabtu. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah dan Tengku Hassanal berkenan bergambar bersama orang ramai ketika berangkat tiba pada Minum Petang Bersama Komuniti sempena Kembara Kenali Borneo di Kampung Pangkalan Lutong pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

MIRI - Seakan menonton cerita Melayu klasik mengenai raja dan permaisuri yang sangat disayangi serta disanjungi rakyat.

Begitulah diibaratkan sambutan penduduk meraikan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ketika kunjungan di Daerah Miri, pada hari ketujuh Kembara Kenali Borneo pada Sabtu.

Berangkat sama menyertai konvoi Kembara Kenali Borneo di Sarawak ialah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Panglima Raja Kolonel, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Momen itu antaranya disaksikan semasa Al-Sultan Abdullah, Tunku Azizah dan paduka anakanda berkenan berangkat pada Majlis Santapan Bersama Komuniti di Dewan Kampung Pangkalan Lutong, di sini, apabila ratusan penduduk setempat membanjiri pekarangan dewan itu.

Petugas Bernama yang merupakan sebahagian konvoi Kembara Kenali Borneo menyaksikan sendiri keterujaan dan keriuhan menyambut kunjungan kerabat diraja dengan sorakan gemuruh dan laungan "Daulat Tuanku” sering kali bergema mengiringi keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri, kira-kira pukul 5.15 petang di lokasi persinggahan terakhir hari ini.

Sejurus Seri Paduka berdua serta paduka anakanda berangkat tiba, Dewan Kampung Pangkalan Lutong yang terletak 12 kilometer (km) dari bandar raya ini terus dikerumuni penduduk di sekitar lokasi berkenaan.

Turut kelihatan situasi beberapa golongan dewasa dan kanak-kanak berlari ke arah dewan itu kerana terlalu teruja dan seronok dengan keberangkatan Seri Paduka berdua, seakan mahu bertemu pasangan diraja itu secara lebih dekat untuk dijadikan kenangan manis buat mereka.

Walaupun ramai tidak berpeluang memasuki dewan itu kerana ruangnya yang tidak mampu memuatkan semua hadirin, namun pelbagai lapisan masyarakat tetap setia menunggu di luar dewan dengan harapan dapat bertemu Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri secara bersemuka.

Artikel Berkaitan:

Bagaikan prihatin dengan keadaan itu, Al-Sultan Abdullah, Tunku Azizah serta paduka anakanda berkenan menyantuni dan beramah mesra seketika dengan beberapa penduduk yang menantikan keberangkatan kerabat diraja itu.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan melambaikan tangan ketika berangkat pulang selepas majlis Minum Petang Bersama Komuniti sempena Kembara Kenali Borneo di Kampung Pangkalan Lutong. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan melambaikan tangan ketika berangkat pulang selepas majlis Minum Petang Bersama Komuniti sempena Kembara Kenali Borneo di Kampung Pangkalan Lutong. - Foto Bernama

Al-Sultan Abdullah malah sanggup berhenti seketika menikmati santapan petang dan terus menuju ke arah orang ramai untuk beramah mesra dan melambai ke arah mereka di luar dewan itu dan kemudiannya disertai sorakan kegembiraan penduduk setempat.

Tunku Azizah pula ketika berangkat meninggalkan majlis berkenaan pada 5.45 petang, sempat melambai dan memberikan isyarat tangan berbentuk ‘hati’ menerusi bumbung tembus kenderaan pacuan empat roda yang dipandu sendiri Al-Sultan Abdullah.

Pada saat itu, kelihatan orang ramai tidak melepaskan peluang untuk melambai kembali serta memberi isyarat tangan yang sama kepada Raja Permaisuri, seolah-olah menandakan sayangnya mereka kepada Seri Paduka berdua.

Terdahulu, sambutan hangat turut dirasai apabila ribuan masyarakat di Daerah Miri meraikan keberangkatan Seri Paduka berdua dengan menunggu di bahu jalan, sepanjang perjalanan pasangan diraja itu menuju ke setiap destinasi dijadualkan hari ini, yang melibatkan jarak perjalanan hampir 50 kilometer (km) secara keseluruhannya.

Kembara Kenali Borneo hari ini meneruskan penjelajahan ke Sarawak menerusi Miri setelah Seri Paduka berdua singgah di Bandar Seri Begawan, Brunei, pada Khamis dan berangkat ke Majlis Santapan Malam yang dihoskan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, malam Sabtu.

Kembara Kenali Borneo akan menuju ke Bekenu dan Bintulu esok, diikuti persinggahan di Sibu, Sri Aman dan Kuching sebelum ke Telok Melano, di selatan Sarawak pada 13 September.

Kembara Kenali Borneo yang bertujuan untuk merealisasikan impian Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mendekati rakyat di Sabah dan Sarawak, bermula pada 3 September lepas.

Penjelajahan selama 11 hari itu melibatkan perjalanan jarak sejauh 2,154 kilometer menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!