Kemenangan bukti kerjasama BN-PH diterima pengundi - Nazri

Nazri dua dari kiri) diumum sebagai ADUN Simpang Jeram pada majlis pengumuman keputusan rasmi di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi pada PRK DUN Simpang Jeram di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim Muar malam Sabtu. - Foto Bernama
Nazri dua dari kiri) diumum sebagai ADUN Simpang Jeram pada majlis pengumuman keputusan rasmi di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi pada PRK DUN Simpang Jeram di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim Muar malam Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

MUAR - [DIKEMAS KINI] Nazri Abdul Rahman menyifatkan kemenangan beliau pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada Sabtu sebagai hasil kerja keras dan kerjasama kukuh antara gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, keputusan itu sekali gus menghapuskan stigma bahawa kerjasama kedua-dua gabungan tidak diterima oleh pengundi di kawasan tersebut, khususnya pengundi Melayu.

"Kemenangan ini bukan kemenangan saya seorang, ini adalah kemenangan pasukan dan kita sedia maklum dalam pilihan raya kali ini adalah gabungan antara PH dan BN.

"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua jentera di pihak PH dan BN. Tanpa kerjasama dan kerja keras mereka, tak mungkin saya dapat kemenangan sebegini rupa," katanya kepada pemberita selepas diumum memenangi kerusi itu.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Nazri memenangi kerusi DUN itu dengan majoriti 3,514 undi.

Timbalan Ketua Amanah Bakri itu memperoleh 13,844 undi bagi menewaskan Dr Mohd Mazri Yahya daripada Perikatan Nasional (PN) yang mendapat 10,330 undi manakala calon Bebas S.Jeganathan, yang juga ahli perniagaan, hanya meraih 311 undi sekali gus hilang wang deposit.

Nazri juga berkata, selepas diberi mandat, beliau akan cuba memenuhi janji dalam pilihan raya dan perkara pertama yang akan dilakukan ialah berkunjung serta berjumpa dengan pengundi seberapa segera untuk menzahirkan penghargaan kepada mereka.

Beliau juga berazam memberikan khidmat terbaik sepanjang menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

Artikel Berkaitan:

Nazri juga menganggap dua pencabarnya pada pilihan raya itu sebagai rakan dan berharap mereka dapat bekerjasama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!